Jadual padat menanti Dr M di UNGA 2019

download - 2019-09-24T084250.760.jpg

Dengan jadual padat, ternyata Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi individu yang sibuk apabila berada di bandar ini dari 24 hingga 28 Sept ini bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-74 apabila pemimpin dunia berkumpul untuk perhimpunan diplomatik tahunan itu.

Memimpin delegasi Malaysia ke UNGA 2019, diari perdana menteri untuk beberapa hari ini dipenuhi dengan mesyuarat peringkat tinggi dengan pemimpin lain, menghadiri acara yang berkaitan dengan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan libat urus berprofil tinggi.

Semua mata akan tertumpu kepada perdana menteri berusia 94 tahun itu apabila beliau menyampaikan kenyataan negara Malaysia pada Debat Umum UNGA yang dijadualkan pada Jumaat di Ibu Pejabat PBB.

Tema untuk debat umum tahun ini ‘Merangsang Usaha Multilateral untuk Pembasmian Kemiskinan, Pendidikan Berkualiti, Tindakan Iklim dan Rangkuman’ yang memberi tumpuan kepada hubungan berterusan sistem PBB.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Malaysia menyatakan bahawa ucapan Dr Mahathir di UNGA berkemungkinan mengetengahkan perkembangan semasa di dunia dan kepentingan multilateralisme serta keperluan untuk negara-negara bekerjasama dalam menangani cabaran yang sama.

Dr Mahathir juga dijangka menggariskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan negara anggota PBB yang lain dalam mencapai objektif di bawah tema Debat Umum ke-74 dan seterusnya.

Beliau juga akan menekankan harapan Malaysia terhadap PBB sebagai organisasi antarabangsa utama yang diberi mandat untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, menurut kenyataan itu.

Dalam taklimat kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan UNGA 2019 di sini pada Isnin, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Dr Mahathir mungkin akan terus mengetengahkan keperluan mereformasi PBB dan menghormati institusi dan peraturan antarabangsa.

“Sekalipun peraturan antarabangsa itu tidak sempurna tetapi kita tiada pilihan melainkan sambil kita mereformasi institusi dan peraturan antarabangsa, kita harus mematuhinya.

“Ini kerana konsep multilateralisme ini adalah konsep yang dipercayai kerajaan Malaysia sejak dulu dan kini di bawah pentadbiran baharu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Dr Mahathir akan membangkitkan isu Palestin, Saifuddin berkata: “Saya tidak dapat mengagak apa yang perdana menteri akan cakap tetapi anda boleh menganggap bahawa beliau mungkin menyentuh beberapa isu yang diketahui Malaysia seperti Palestin dan Rohingya”.

Perdana menteri dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia pada Dialog Pemimpin 6: Wawasan 2020-2030 semasa Forum Politik Peringkat Tinggi pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) pada Rabu.

Pada Khamis, Dr Mahathir akan menyampaikan ucapan pada program ‘Pengawasan Persekitaran dalam Menangani Kemiskinan bagi Mencapai Pembangunan Lestari untuk Semua’.

“Malaysia adalah penganjur utama program ini bersama Turki, Pakistan dan Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB,” kata Saifuddin.

Sejurus ketibaan Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Selasa, perdana menteri akan berucap pada acara sampingan peringkat tinggi mengenai ‘Krisis Rohingya – Menuju ke Hadapan’ yang mana Malaysia merupakan penganjur bersama-sama Bangladesh, Turki, Arab Saudi dan Kanada.

Selain itu, Dr Mahathir juga akan menyertai Forum Pemimpin Dunia di Columbia University di sini dan menghadiri mesyuarat bersama anggota Majlis Hubungan Luar (CFR).

Jadualnya yang sibuk turut menyaksikan beliau mengadakan pertemuan dengan usahawan terkenal dan pelabur berpotensi dari Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata Dr Mahathir akan mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa pemimpin termasuk Presiden Iran Hassan Rouhani.

Turut mengiringi perdana menteri ke New York adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

BERNAMA