Jabatan Peguam Negara pulangkan kertas siasatan kes Khairuddin, perlu siasatan lanjut

Jabatan Peguam Negara pulangkan kertas siasatan kes Khairuddin, perlu siasatan lanjut

Polis meneruskan siasatan terhadap kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang melanggar perintah kuarantin wajib selepas pulang dari Turki pada Julai lalu.

Menurut Bukit Aman, ia selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi arahan lanjut kepada polis mengenai kes berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan.

“(Kertas siasatan) telah dikembalikan kepada polis dengan beberapa arahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Malaysiakini menghubungi Mior bagi mendapatkan maklumat terbaru mengenai status kes Khairuddin setelah polis menyerahkan hasil siasatan kepada AGC kira-kira dua minggu yang lalu.

Mior juga mengesahkan bahawa antara arahan yang diberikan AGC kepada polis adalah untuk merakam kenyataan dari beberapa orang lagi.

Dia bagaimanapun tidak memberikan perincian mengenai arahan lain dari AGC.

Dia menyatakan kertas siasatan telah dikembalikan kepada polis hujung minggu lalu dan mereka sedang berusaha untuk segera menyelesaikan arahan yang diberikan.

Terdahulu, Khairuddin mengundang kecaman ramai pihak atas pelanggaran itu, termasuk didesak agar letak jawatan.

Dia yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS dikompaun sebanyak RM1,000 atas pelanggaran tersebut, selain bertindak menyumbangkan semula gajinya selama beberapa bulan ke tabung Covid-19.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/543879

COMMENTS