Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) jenama baru Jasa

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) jenama baru Jasa

Kerajaan bersetuju untuk menjenamakan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dengan peranan dan fungsi berbeza, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata matlamat J-Kom adalah untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat iaitu bagi menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat, sahih dan bijaksana kepada rakyat, selain mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat.

“Kaedah yang digunakan ialah dengan cara membangunkan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan menggunakan pendekatan ‘penghakupayaan komuniti’,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa fungsi J-Kom juga berbeza dengan Jabatan Penerangan (Japen) kerana tugas utama J-Kom pada waktu ini adalah melaksanakan komunikasi strategik membudayakan normal baharu susulan pandemik Covid-19.

Japen pula, katanya bertujuan memberi kefahaman mengenai sesuatu dasar, program dan inisiatif kerajaan dengan memberi keutamaan kepada komunikasi.

Katanya fungsi J-Kom juga tidak bersifat bertindan dengan agensi lain di bawah KKMM seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mempunyai kumpulan sasar, pendekatan program dan aktiviti berlainan.

Bagi menjawab celahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai dakwaan jabatan itu merupakan ejen penyebar propaganda, Saifuddin memberi jaminan J-Kom bukan mesin propaganda selain menegaskan ketua pengarah serta timbalannya tidak akan dilantik dalam kalangan orang politik.

“Saya bagi jaminan J-Kom bukan mesin propaganda. Proses (lantikan) mengikut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ada kriteria dan kriteria utama merupakan celik IT.

“Saya beri jaminan ketua pengarah dan timbalan (ketua) pengarah tidak akan dilantik daripada orang politik, ia harus kombinasi (golongan) profesional dan pegawai tadbir yang baik serta bersahsiah tinggi,” katanya.

Beliau berkata lantikan itu harus melalui proses permohonan dan temu duga yang telus mengikut lunas peraturan yang ditetapkan JPA.

Mengulas mengenai peruntukan RM85.5 juta untuk jabatan itu yang disifatkan terlalu tinggi, Saifuddin tanpa mendedahkan jumlah itu memberi bayangan peruntukan itu akan dikurangkan.

Katanya, pengurangan peruntukan itu boleh dibuat berikutan peruntukan J-Kom berdasarkan jumlah daerah dan bukannya peruntukan mengikut jumlah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti sebelum ini.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/552444