Ivermectin terbukti tiada kesan sampingan serius, cuma belum terbukti mampu rawat Covid-19

Ivermectin

Ivermectin terbukti tiada kesan sampingan serius, cuma belum terbukti mampu rawat Covid-19. Penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19 dilihat amat mendesak pada masa ini ketika kes kematian akibat wabak tersebut semakin membimbangkan.

Pengamal perubatan Dr Amir Farid Isahak berpendapat ubat antiparasit itu terbukti selamat digunakan untuk manusia memandangkan sudah ada kajian saintifik dunia mengenai hal tersebut.

“Keadaan yang berlaku di Malaysia ini sejak Mei lalu, kes positif Covid-19 dan kematian naik mendadak.

“Jadi, saya berpendapat kebaikan Ivermectin lebih banyak daripada risikonya,” katanya dalam temubual secara langsung di Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 sebentar tadi.

Menurut Dr Amir, kajian saintifik mengenai penggunaan Ivermectin untuk manusia sudah ada pada 2002 lagi dan tidak memudaratkan sistem saraf atau pun mana-mana organ lain.

Ivermectin

Ivermectin

“Sudah ada kajian ubat Ivermectin selamat untuk digunakan dengan dos sehingga 10 kali ganda,” katanya merujuk pada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

Walaupun selamat digunakan, beliau mengakui dari segi keberkesanan Ivermectin merawat Covid-19 masih belum terbukti memandangkan kajian yang dilakukan tidak melibatkan ramai orang.

“Kurang dari 5,000 orang (sampel kajian) kalau digabungkan tetapi (pandemik Covid-19) ini kes luar biasa sekarang. Orang semakin ramai mati.

“Nak tunggu lebih ramai lagi mati? Nak tunggu sehingga 20,000 orang mati?” soalnya.

Keadaan amat genting

Untuk rekod, Ivermectin yang diluluskan FDA digunakan secara meluas bagi merawat beberapa penyakit tropika terabai, termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

Namun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, belum ada bukti konklusif untuk mengesyorkan penggunaan Ivermectin bagi merawat Covid-19.

Jelasnya, penggunaan Ivermectin pada masa ini hanya dibenarkan secara ‘off label’ seperti yang dilakukan pada ubat antimalaria dan HIV sehingga kajian menyeluruh dijalankan.

Awal Jun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) difahamkan memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan serta keberkesanan penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital kerajaan.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata keputusan kajian ubat Ivermectin untuk digunakan bagi merawat pesakit Covid-19 akan diketahui pada September ini.

Menurutnya pada pada sesi penggulungan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, seramai 200 pesakit Covid-19 setakat ini menyertai kajian terbabit membabitkan 18 hospital kerajaan.

Mengulas lanjut, Dr Amir berkata, penggunaan Ivermectin bagi menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 penting memandangkan vaksin sebagai pelindung yang menyebabkan lebih ramai kematian boleh pula diluluskan.

“Kita akui dari segi keberkesanan Ivermectin boleh dipertikai tetapi dari segi keselamatan, jangan cuba mahu takut-takutkan orang,

“Sekarang kita dalam keadaan sekarang amat genting, kecemasan.

“Saya bukan anti vaksin. Saya sendiri sudah disuntik tetapi dibandingkan dengan vaksin, tiada maklumat tentang keselamatan masa depan. Kosong.

“Sekarang ini satu dunia lebih 50,000 mati kerana vaksin tetapi diluluskan juga sedangkan Ivermectin hampir 40 tahun dan sudah hampir empat bilion dos sudah digunakan, baru 20 orang mati,” jelas Dr Amir lagi.

Penggunaan off-label Ivermectin meraih perhatian masyarakat antarabangsa susulan beberapa kajian kes dan ujian klinikal menunjukkan keputusan yang baik dalam merawat Covid-19.

Bagaimanapun, pihak FDA tidak meluluskan penggunaan Ivermectin bagi merawat dan mencegah Covid-19 pada manusia.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal dengan pesakit perlu dipantau doktor pakar dan penyelidik berpengalaman untuk menjamin keselamatan serta keberkesanannya.

Dalam masa sama, tidak kurang 20 negara antaranya, India, Amerika Latin serta beberapa negara Eropah dan Afrika membenarkan penggunaan Ivermectin sebagai salah satu rawatan terhadap pesakit Covid-19, menurut Pharmacy Magazine.

Di Malaysia, jumlah kematian harian yang direkodkan melebihi 200 kes iaitu 207 kes untuk dua hari berturut-turut menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat Covid-19 meningkat kepada 8,408 kes setakat semalam.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/ivermectin-selamat-elak-lebih-ramai-kematian-kata-pengamal-perubatan/

jika terlepas:Cadangan Umno tak dilayan kerajaan – Zahid

COMMENTS

Wordpress (0)