ISU ZAKAT AR-RIQAB DAN PENJELASANNYA

Tular semula isu Zakat Ar-Riqab diberikan kepada golongan bermasalah seperti lgbt, pelacur, gigolo, mak nyah dah sebagainya oleh Fatwa Jabatan Mufti Negeri Selangor pada bulan September 2018.

Menjadi kebiasaan mereka ini akan mengutip semula isu lama dikitar semula semata-mata ketandusan isu menyerang Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Harapan.

Tanpa mereka membaca keputusan fatwa tersebut secara menyeluruh dan melihat keperluan ia difatwakan di Selangor.

Pertamanya, mereka tak jelas bahawa golongan ini disebut secara jelas SS Mufti golongan berpenyakit kronik, perlu dibantu dipulihkan, oleh sebab itu Jabatan Mufti setelah meneliti segala nas syara’ dan perbincangan mendalam memutuskan bahawa golongan ini perlu dibantu. Tetapi bagaimana kaedah hendak membantu mereka?

Caranya ialah NGO yang mengusahakan pusat pemulihan membantu golongan ini, boleh memohon peruntukan zakat dari Zakat Selangor untuk digunakan perbelanjaan bagi memulihkan golongan ini agar mereka sedar, insaf dan berusaha memperbaiki kesalahan dan dosa telah dilakukan, akhirnya kembali bertaubat kepada fitrah manusia.

Maka tidak ada salah dengan fatwa Zakat Selangor menyediakan peruntukan kepada asnaf melalui NGO-NGO sebagai perbelanjaan bagi memulihkan golongan songsang ini menerima rawatan dan pemulihan di pusat mereka.

Apa menjadi salah faham kalangan pihak yang menyerang secara membuta-tuli ini, mereka hanya membaca tajuk berita disiarkan TV3 pada September 2018 tersebut, kemudiannya pihak stesen tv tersebut memperbetulkannya dengan menyatakan wang zakat diserah kepada pihak yang terlibat memulihkan golongan songsang ini, jika mereka membaca kenyataan SS Mufti jelas beliau menyatakan asbab dan alasan kukuh kenapa Jabatan Mufti Selangor membuat keputusan tersebut.

Berikut adalah kenyataan penuh SS Mufti Selangor…

KENYATAAN S.S DATO’ SERI UTAMA DIRAJA MUFTI SELANGOR BERKAITAN ISU LESBIAN GAY BISEKSUAL TRANSGENDER (LGBT)

“Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender atau lebih dikenali sebagai LGBT ini dianggap sebagai satu penyakit mental dan amatlah membimbangkan, kerana telah melawan fitrah.

Fitrah kehidupan manusia yang normal ialah hidup berpasang- pasangan. Sebagaimana telah diciptakan oleh Allah S.W.T, lelaki pasangannya adalah perempuan. Begitu juga dengan haiwan, jantan pasangannya adalah betina, baik pasangannya jahat, cantik pasangannya ialah hodoh.

Kesimpulannya, setiap makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W T di muka bumi ini berpasang-pasangan. lni adalah fitrah setiap ciptaan Yang Maha Esa.

Berdasarkan kepada Al Quran dan Hadith-hadith Rasulullah S.A.W hukum yang berkaitan dengan LGBT adalah jelas haram dan bertentangan dengan ajaran lslam.

Melihat kepada impak negatif gejala ini dalam masyarakat, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah mengambil inisiatif proaktif dengan memutuskan beberapa panduan hukum yang jelas bagi merungkai persoalan hukum berkaitan isu-isu LGBT di antaranya :

1. Hukum Perkahwinan Mak Nyah Dengan Lelaki Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 15 Jun 1993 memutuskan bahawa:

“Perkahwinan mak nyah selepas ditukar jantina kepada perempuan adalah tidak sah, kerana ia pada hakikatnya adalah lelaki, di antara syarat-syarat sah kahwin mestilah keadaan isteri itu perempuan secara yakin. Perkahwinan mak nyah dengan lelaki dikira haram, kerana bertentangan dengan syariat lslam dan bid’ah.”

2. Hukum Menukar Jantina Mak Nyah

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 15 Jun 1 993 memutuskan bahawa:

“Penukaran jantina mak nyah kepada perempuan melalui pembedahan adalah terang bertentangan dengan lslam kerana Allah S.W.T. melarang mengubah kejadiannya, sepertimana Firman Allah dalam Surah An Nisa, ayat 119”.

3. Hukum Wanita Meyerupai Lelaki (Pengkid)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 18 Mac 2009 memutuskan bahawa:

“Pengkid iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi lslam “.

Berdasarkan keterangan ini, betapa pihak Jabatan Mufti telah mengambil daya usaha awal menetapkan hukum yang jelas bagi mendidik dan memandu masyarakat lslam khususnya dengan gejala ini. Apa yang menjadi harapan kami agar masyarakat lebih peka serta perlu lebih penuh keimanan dalam memahami dan melaksanakan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh para ulama, berautoriti dalam Negara kita ini. Kami juga menyarankan agar sesiapa sahaja perlu menghayati apa yang telah dinyatakan oleh Allah S.W.T dalam surah An Nahl ayat ke 43 yang bermaksud : Bertanyalah kepada ahli zikir bila kamu tidak tahu”. Peringkat Allah S.W.T. ini menegaskan agar kita senantiasa bertanya kepada orang yang berautoriti, yang lebih memahami sekiranya kita tidak mengetahui atau tidak mengetahui atau tidak ada ilmu berkaitan sesuatu isu.

Atas neraca kebajikan dan kasih sayang dalam lslam, agar golongan ini tidak terpinggir dan merasa seolah di diskriminasi maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 14 Mei 2012 telah memutuskan Fatwa Jenis Penerima Asnaf Al Riqab Negeri Selangor dan apa-apa yang berkaitan dengannya.

Di dalam fatwa tersebut telah dinyatakan senarai jenis penerima agihan asnaf Al Riqab yang layak menerima bantuan zakat Al-Riqab melalui perantaraan mana-mana institusi, pusat, NGO lslam dan individu perseorangan yang dibenarkan oleh undang-undang dan hukum Syara’ yang berfungsi melaksanakan tugas-tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf Al Riqab supaya dapat menjalani kehidupan sempurna secara lslam.

Antara senarai penerimanya adalah golongan yang terbelenggu dengan gaya hidup sonsang iaitu:

1. Pelacur 2. Lesbian 3. Mak Nyah (Transexual ) 4. Gay 5. Homoseksual 6. Gigolo 7. Biseksual 8. Pengkid 9. Tomboy 10. Bersedudukan dengan orang bukan lslam

Jabatan ini juga mengucapkan tahniah dan jutaan penghargaan kepada agensi agama lslam yang sangat komited dalam memperkasa penguatkuasaan pelaksanaan dan tindakan yang termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor, no 3, Tahun 1995 iaitu di bawah Seksyen 10,27,28 dan 30.

Ketegasan ini sudah pasti akan dapat membantu menyekat dari terus menerus gejala ini berlaku dan dalam langka panjang agar mampu mendidik masyarakat supaya meninggalkan tindakan-tindakan yang secara jelas dilarang dan dimurkai oleh Allah S.W.T dan dilaknat oleh baginda Rasulullah S.A.W.

Adalah diharapkan, semoga kita senantiasa saling tegur menegur pada perkara kebenaran dengan penuh kesabaran. Sebarkan kasih sayang sesama muslim, hormatilah golongan para ulama’yang merupakan pewaris para nabi-nabi, agar kita layak mendapat rahmat dan keredhaan Allah S.W.T serta dijauhkan kita dari kemurkaan dan azab Allah S.W.T.

Sekian, Wassalam.

DATO’ SETIA HAJI MOHD TAMYES BIN ABD. WAHID Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor Jabatan Mufti Negeri Selangor”

3 September 2018 Shah Alam, Selangor

Kepada pihak yang semberono menyerang isu ini, diucapkan cuba lagi yer, serangan anda tersasar umpama menembak peluru kapur, dan seperti ayam berak tahi bertaburan di jalanan…

TOK AKI