Isu takfiri : Kena report polis lebai terus menggelupur minta maaf

Isu takfiri : Kena report polis lebai terus menggelupur minta maaf

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Negeri Kedah, Ustaz Mohd Nasir Zakaria berkata isu Takfiri yang membabitkan seorang pengguna Facebook bernama Saufi Aziz. selesai apabila pengguna Facebook berkenaan memohon maaf.

“Alhamdulillah. Isu pemikiran Takfiri dan halal darah saya dan Datuk Mahfuz kerana terlibat dengan Parti AMANAH Negara dikira selesai.

“Ustaz Saufi Aziz sahabat baik saya telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kami berdua dan seluruh pendorong dan ahli Parti AMANAH Negara,” kata Mohd Nasir melalui hantaran di Facebooknya semalam.

Beberapa jam sebelum itu Mohd Nasir telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah berhubung isu berkenaan terhadap Saufi Aziz.

Ustaz Mohd Nasir berkata, beliau membuat laporan berkenaan kerana bimbang dengan keselamatan beliau dan Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar kerana pengguna Facebook berkenaan mampu mempengaruhi pengguna Facebook yang lain serta pelajar beliau melalui hantaran yang dibuat dalam isu berkenaan.

Saufi Aziz adalah tenaga pengajar di Maktab Mahmud Alor Star. Dalam komen beliau dalam isu berkenaan beliau telah menulis seolah-olah menghalalkan darah pimpinan AMANAH.

Katanya lagi, Saufi Aziz sangat berjiwa besar kerana sanggup berjumpa secara peribadi dengan beliau di Kuala Nerang dan Datuk Mahfuz Omar di rumah beliau di Alor Setar.

“Saya juga memohon maaf kepada sahabat sahabat facebooker dan sahabat-sahabat Maktab Mahmud kerana ada sedikit saya sentuh dalam posting saya sebelum ini.

“Seperti kata Ustaz Saufi, harapnya isu antara saya dan beliau tamat di sini. Insya Allah saya akan terus berperanan memperjuangkan Islam dalam wadah yang saya pilih setakat ini dengan segala kemampuan yang Allah kurniakan.

“Insya Allah saya dan Ustaz Saufi akan berganding dalam memerangi pemikiran Takfiri,” kata Mohd Nasir lagi.