Isu sumpah: Netizen jangan taksub kepartian ulas pandangan Mufti WP

Pensyarah fekah dan usul fiqh, Professor Madya Dr Rozaimi Ramle mengingatkan netizen supaya membebaskan diri daripada taksub kepartian apabila berbicara mengenai isu agama.

Beliau berkata demikian mengulas sikap pengguna media sosial dalam memberikan komen terhadap Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli al-Bakri berhubung pandangannya berkaitan sumpah laknat yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sebuah masjid di Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

“Sepanjang saya membaca dan meneliti pandangan Mufti Wilayah Datuk Seri Zulkifli al-Bakri sebelum ini, saya boleh katakan bahawa beliau amanah dengan ilmu dan tidak bias.

“Jauh sekali beliau mengeluarkan pandangan atas dasar politik kepartian. Jika ada pandangan beliau yang kita tidak setuju pun, biarlah kita beradab dengan seorang Mufti yang banyak berjasa kepada umat ini dari sudut mendekatkan institusi fatwa kepada orang awam.

“Berhujahlah dengan ilmiah dan dengan bahasa yang lunak. Bukannya menuduh beliau dengan tuduhan yang kotor dan jahat,” kata beliau melalui Facebooknya.

Ujarnya, ada juga yang berkata, pandangan beliau tidak kena masanya, namun bagi beliau masanya kena, cuma ia tidak kena dengan anda saja kerana yang dikritik adalah tokoh anda.

“Cuba kalau tokoh orang lain, mungkin anda sedang bersorak gembira. Itulah hasilnya apabila anda melihat dunia dengan pandangan aliran dan kumpulan. Akhirnya orang yang non partisan menjadi mangsa.

“Saya tidak mengatakan saya setuju atau pun tidak dengan kenyataan SS Mufti Wilayah dalam isu sumpah laknat. Saya hanya mahu nyatakan kesedihan saya terhadap netizen yang lebih lajak dari laju,” katanya.

Berhubung sumpah laknat, Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, tiada istilah sumpah laknat dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara li’an.

Dr Zulkifli berkata, bagaimanapun mubahalah dalam Surah Ali Imran ayat 61 tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam sebaliknya kategori sumpah dalam pendebatan untuk menyokong hujah yang benar.