Isu pesawat tentera : Malaysia mesti tegas suarakan bantahan kepada China

Isu pesawat tentera : Malaysia mesti tegas suarakan bantahan kepada China

Wisma Putra perlu memanggil Duta Besar China bagi membantah penerbangan 16 pesawat China menghampiri ruang udara Malaysia semalam, tegas kumpulan veteran tentera.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) menghampiri ruang udara negara pada 31 Mei.

Penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada 11.53 pagi.

Bercakap dengan FMT, Presiden Persatuan Patriot Nasional (Patriot), Mohamed Arshad Raji berkata, penerbangan pesawat itu – yang dipercayai pertama seumpamanya – secara serius menjejaskan keselamatan negara.

“Saya rasa kerajaan harus mengemukakan bantahan kita ke China,” katanya.

“Wisma Putra harus memanggil Duta Besar China untuk menyatakan keprihatinan kita bahawa setiap pelanggaran ruang udara kita mempengaruhi integriti pertahanan dan keselamatan negara.

“Ini sesuai dengan norma undang-undang antarabangsa… semua langkah diplomatik harus diambil oleh kerajaan untuk mengajukan bantahan kepada kerajaan China.”

Arshad turut mempersoalkan motif China menghampiri ruang udara Malaysia, menunjukkan bahawa secara sejarahnya, China belum menjadi negara yang “ingin menjajah negara lain”.

Beliau juga berkata, jika tentera udara China berusaha menguji kemampuan pertahanan udara tentera udara Malaysia, mereka seharusnya memilih “negara-negara yang lebih kuat dari segi ketenteraan”

“Mereka tahu keupayaan kita dan kita tahu keupayaan mereka,” kata Arshad.

TUDM berkata, pesawat terbabit dikesan terbang secara formasi taktikal “in-trail” pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain pada ketinggian antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Menurut TUDM, apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan menghala ke ruang udara negara, TUDM melancarkan pesawat Hawk 208 daripada No 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan untuk memintas pesawat asing tersebut yang kemudian menuju ke perairan Sarawak.

TUDM berkata, formasi panjang tersebut juga terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

Jelas TUDM, pesawat terbabit dikenal pasti sebagai pesawat pengangkut strategik daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 yang berupaya melaksanakan pelbagai misi dan menambah insiden itu merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menggesa Menteri Luar, Hishammuddin Hussein meminta penjelasan daripada China perkara itu.

Beliau berkata kejadian seperti itu amat membimbangkan, menimbulkan kecurigaan, keresahan terhadap kedaulatan negara dan keselamatan ruang udara negara.

“Pujian saya terhadap ketangkasan pasukan TUDM yang segera menggerakkan pemintasan udara dalam mengenal pasti pesawat-pesawat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/01/pesawat-di-ruang-udara-malaysia-wisma-putra-digesa-panggil-duta-china/