Persidangan Ketiga Liga Parlimen Al-Quds (LP4Q) perlu dianggap sebagai selangkah usaha mendapatkan tindakan konkrit berhubung isu Palestin dan melindungi warisan sejarah Baitulmaqdis.
Ketua delegasi Turki Hasan Turan berkata Al-Quds merupakan isu penting khususnya kepada Islam.
“Kita perlu mendidik dunia mengenai isu itu, suarakan pendirian dan tunjukkan sokongan terhadap Palestin dalam apa jua aspek (termasuk) dari segi kewangan, kebudayaan (dan) kerohanian,” katanya kepada Bernama melalui penterjemah.
Turan amat kagum dengan pendirian tegas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus menentang penindasan di Al-Quds dan Palestin dan perjanjian yang dikemukakan – digelar “Perjanjian Abad Ini”.
“Saya mengucapkan tahniah kepada beliau dan Malaysia kerana mempunyai pemimpin yang kuat.
“Malaysia tidak mudah menyerah kalah kepada kuasa besar seperti Amerika dalam isu itu (Perjanjian Abad Ini) dan ia pendirian yang mulia.
“Saya percaya bahawa kerajaan negara-negara Islam lain mempunyai pandangan yang sama dan berhenti mentadbir negara mereka mengikut telunjuk Amerika,” katanya.
Perjanjian itu,yang diumumkan Presiden Donald Trump di Rumah Putih pada 28 Januari lalu, disifatkan sebagai pencabulan keterlaluan hak Palestin dan mengabaikan semua perjanjian yang berlandaskan pembentukan dua negara, menjadikan tuntutan Palestin untuk membentuk negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 sebagai tidak relevan.
Persidangan dua hari bermula hari ini itu, dianjurkan LP4Q dengan sokongan parlimen Malaysia dan beberapa pertubuhan masyarakat termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).
Malaysia diberikan keistimewaan menjadi tuan rumah persidangan itu buat kali pertama selepas dua sidang terakhir di Istanbul, Turki pada 2016 dan 2018.
Sementara itu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dalam perutusannya sempena persidangan itu berkata, tanggungjawab paling penting kepada dunia Islam ialah melindungi kesucian Masjid al-Aqsa dan Al-Quds sebagai simbol keamanan serta mempertahankan hak rakyat Palestin.