Isu logo : Akhirnya PH sudah capai kesepakatan

Isu logo : Akhirnya PH sudah capai kesepakatan

Sebilangan pemimpin PKR mungkin memperjuangkan logo parti itu digunakan oleh pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang (PRU15), namun kemungkinan besar, panji Pakatan Harapan (PH) yang akan bertahan.

Menurut sumber PH, persetujuan mengenai hal ini dicapai secara prinsip semasa pemukiman pemimpinnya di Port Dickson pada April.

“Semua pemimpin bersuara, dan jelasnya, segelintir dalam PKR berkata, ahli akar umbi sangat sentimental terhadap bendera mereka, terutamanya selepas ia diterima rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Hujah mereka adalah logo berkenaan tiada sebarang beban lampau,” katanya.

“Bagaimanapun, yang mengkritik berkata, PKR dikaitkan dengan ‘katak’ politik dipimpin Azmin Ali dan gengnya, yang membawa kepada kejatuhan PN dalam Langkah Sheraton.”

Tambahnya, setiap logo membawa kelemahan tersendiri, namun ia akan menggambarkan kekuatan melalui penggabungan sinergi bawah sepanduk PH.

Pengakhirannya, menurut sumber lain, logo PH akan bertahan dan kata sepakat telah dicapai.

Sumber itu berkata, Pengerusi PH dan Presiden PKR Anwar Ibrahim diberi kepercayaan untuk membuat pengumuman mengenainya pada waktu yang tepat.

“Beliau meminta lebih masa untuk meyakinkan ahli akar umbi bahawa menggunakan logo PH adalah jalan terbaik kerana beliau telah dinamakan sebagai calon Perdana Menteri pakatan berkenaan.

“Katanya, ini perlu dilakukan dengan cermat supaya tidak menimbulkan kekecohan,” kata sumber berkenaan.

Menurutnya, ada yang berkata, tidak masuk akal jika Anwar, yang menjadi pilihan PH sebagai Perdana Menteri, menggunakan logo PKR dalam kempennya.

Pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah ketika ini terlibat dalam pertikaian umum mengenai tiketnya untuk PRU15, yang mana kata sumber berpotensi menimbulkan ketegangan jika Anwar gagal meyakinkan ahlinya bahawa logo PH adalah langkah terbaik ke hadapan.

Pertikaian ini bermula setelah Ketua Pemuda PKR dan Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata dalam ucapan dasarnya pada kongres bahawa PH patut menggunakan logo partinya untuk “mengembalikan keyakinan rakyat”.

Dalam respons hampir serta merta, Ketua Pemuda DAP Howard Lee berkata, cadangan berkenaan kurang bijak, sambil menambah, PH adalah entiti berdaftar, bukan seperti pada PRU14.

Sumber berkata, Amanah dan DAP tidak mempunyai masalah dengannya kerana mereka berasa PH maju sebagai pasukan yang bersatu, jadi menggunakan logo PKR akan menimbulkan persoalan mengenai perpaduannya.

Katanya, jika parti-parti tidak boleh berkompromi mengenai hal mudah seperti ini, rakyat akan mempersoalkan sama ada PH akan terus berpecah belah selepas memegang tampuk pemerintahan persekutuan.

Selain bersikap sentimental dan berusaha “menunjukkan” ketinggian darjat, satu sumber berkata, ada yang berpendapat bahawa logo PH juga dikaitkan dengan Dr Mahathir Mohamad, yang memimpin gabungan berkenaan ke PRU14.

“Ada kumpulan dalam PKR yang tidak mahu mempunyai kaitan dengan Mahathir kerana (beliau) tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri seperti yang dijanjikan,” katanya.

Katanya, PH berjaya memenangi tiga pilihan raya kecil selepas PRU14 menggunakan logonya di Port Dickson (PKR), Balakong (DAP) dan Sungai Kandis (PKR).

Seorang sumber PKR berkata, Anwar harus menunjukkan bahawa beliau benar-benar tegas dalam hal ini kerana jika gagal, isu ini boleh mengakibatkan perbezaan pendapat besar yang boleh dimanfaatkan dengan mudah oleh pesaing.

“Semakin cepat keputusan dibuat, lebih baik bagi PH kerana ia sedang diperhatikan. Anwar sendiri memenangi kerusi Port Dickson menggunakan logo pakatan itu. Cara beliau menangani isu mudah ini akan menunjukkan sama ada beliau adalah kuasa penyatuan atau pemecahan.

“Kami harap beliau membuat pengumuman segera kerana PRU15 akan menjadi perkara pertama yang dilakukan setelah imuniti kelompok tercapai,” katanya, sambil menambah, ini mungkin akan berlangsung dalam tempoh kurang setahun.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/14/kata-sepakat-dicapai-secara-prinsip-untuk-guna-logo-ph-dalam-pru15-kata-sumber/