Isu bantuan banjir : Syed Saddiq disiasat polis

Isu bantuan banjir : Syed Saddiq disiasat polis. Polis Johor sedang menyiasat seorang ahli politik berhubung sidang media yang dibuat semalam berkaitan pemberian bantuan kepada mangsa banjir di Segamat, Johor.

Pemangku Ketua Polis Johor, Khaw Kok Chin tidak menamakan ahli politik berkenaan namun dipercayai siasatan bertumpu kepada kenyataan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang antara lain, meminta polis tidak melayan sukarelawan partinya seperti “penjenayah”.

Ahli Parlimen Muar itu mengeluarkan kenyataan itu selepas enam sukarelawan MUDA, dipanggil polis untuk memberi kenyataan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Segamat.

Khaw berkata, kerajaan negeri Johor melalui Pejabat Daerah telah mengeluarkan tatacara, SOP dan peraturan untuk pemberian bantuan demi kepentingan penyelarasan dan keselamatan yang lebih baik.

“Polis Johor tidak beranggapan sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang membantu dalam bencana banjir melakukan kesalahan undang-undang.

“Bagaimanapun polis akan melakukan siasatan mengikut peruntukan undang-undang secara adil untuk menentukan sama ada terdapat pelanggaran undang-undang atau tidak,” katanya.

Khaw berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana ingkar perintah yang diisytiharkan penjawat awam yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pada masa sama, Khaw menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial dan platform lain dan memberi amaran bahawa polis akan bertindak terhadap sesiapa sahaja yang mengancam keamanan dan ketenteraman awam.

Pada sidang media dalam taliannya semalam, Syed Saddiq menggesa polis berlaku adil kepada sukarelawan MUDA Johor yang menghantar bantuan terus kepada mangsa banjir tanpa meminta kebenaran Pegawai Daerah (DO) terlebih dahulu.

“Jangan layan sukarelawan seperti penjenayah sampai nak panggil disoal siasat oleh polis,” katanya melalui satu video mengenai itu di laman Facebooknya.

Beliau memohon maaf atas kesilapan itu dan akan mengikut SOP dengan meminta kebenaran DO terlebih dahulu sebelum menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

BACA JUGA :
Panas !!! Syed Saddiq dedah kemewahan gaji, elaun menteri
Panas !!! Syed Saddiq buka mulut perangai sebenar Wan Fayhsal
Terlalu ramai datang minta bantuan, Pejabat Parlimen Muar diarah tutup – Syed Saddiq

Artikel ini disiarkan pada 10/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)