Isu arak Timah : Hak bukan Islam minum arak ‘juga perlu dilihat’ – Tuan Ibrahim

Orang Islam perlu menjauhi arak dalam setiap keadaan, namun hak bukan Islam untuk meminumnya “juga perlu dilihat”, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, susulan kontroversi arak jenama tempatan, Timah.

Beliau berkata, penggunaan perkataan Timah sebagai jenama arak keluaran syarikat tempatan itu “mengelirukan” selain kesal kerana ada pihak menggunakan isu itu untuk menyerang PAS walaupun ia mengambil pendirian tegas.

“Soal jenama dan logo yang boleh mengelirukan, PAS konsisten meminta ia disemak kembali. Nama Timah, bukan nama Islam dan bukan nama manusia.

Isu arak Timah : Hak bukan Islam minum arak 'juga perlu dilihat' - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam mendidik masyarakat Islam menghindari arak, hak penganut agama bukan Islam juga perlu diambil kira.

“Ia seumpama nama jenis logam dan lebih jelas pula apabila logo arak itu gambar seorang lelaki. Tiada lelaki nama Timah,” Tuan Ibrahim memberitahu Harakahdaily.

Tuan Ibrahim berkata, dalam mendidik masyarakat Islam supaya menghindari arak, hak penganut agama bukan Islam juga perlu diambil kira.

“Adalah lebih baik kita didik masyarakat Islam menjauhi arak walau apa jenama sekalipun, tetapi hak dan kehendak bukan Islam untuk meminumnya juga perlu dilihat,” jelasnya tanpa mengulas lanjut.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Nazir Helmi sebelum ini dilaporkan mendesak kerajaan supaya menutup perusahaan arak yang katanya “merosakkan seluruh institusi masyarakat dan negara.”

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, apa jua jenama arak dan logo tidak akan mengubah hakikat arak tetap haram di sisi Islam dan bercanggah dengan perjuangan PAS.

“Sebenarnya ia (isu arak Timah) bukanlah isu besar melainkan ia (pihak tertentu) hanya tak ada modal lain hendak serang PAS,” katanya.

Selasa lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary menegaskan kerajaan tidak ada kena mengena dengan pengeluaran arak jenama Timah sebagaimana tular di laman sosial.

Beliau yang juga pemimpin PAS berkata, tidak wajar mengaitkan isu itu kepada kerajaan.

“Perusahaan sebegitu (minuman keras) memang wujud dalam negara kita, tetapi bukan kerajaan yang keluarkan minuman itu. Bukan usaha kerajaan, tetapi inisiatif pihak lain, tiada pun campur tangan kerajaan dalam perkara ini,” katanya.

PAS adalah parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang menerajui negara sebelum ini. Parti itu turut menganggotai kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang dibentuk Ogos lalu.

BACA JUGA : Percutian bertukar tragedi, kanak-kanak 6 tahun maut jatuh hotel

COMMENTS

Wordpress (2)
  • comment-avatar

    […] BACA JUGA : Isu arak Timah : Hak bukan Islam minum arak ‘juga perlu dilihat’ – Tuan Ibrahim […]

  • comment-avatar

    […] BACA JUGA : Isu arak Timah : Hak bukan Islam minum arak ‘juga perlu dilihat’ – Tuan Ibrahim […]