Ismail Sabri pertimbang cadangan TPM dari Sarawak

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan melantik seorang timbalan perdana menteri dari Sarawak dalam barisan Kabinet yang akan dibentuk, seterusnya diumumkan minggu ini.

Beliau berkata, pelantikan seorang daripada Ahli Parlimen Sarawak sebagai timbalannya sedang dipertimbangkan dengan teliti bagi memastikan kepentingan semua pihak terjaga.

“Saya akan pertimbangkan semua sebelum saya putuskan siapa yang jadi menteri dan sebagainya. Kita akan lihat secara keseluruhanlah, mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail menyatakan penghargaan di atas sokongan pembangkang yang berhasrat membantu kerajaan.

“Pembangkang, saya akan jumpa dengan mereka berbincanglah apa peranan,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan tiada wakil pembangkang akan dilantik ke jawatan Kabinet.

Mengulas mengenai senarai Kabinet yang tular di media sosial, Ismail menafikannya sambil menyifatkan ia perkara tidak benar.

“Jangan percayalah senarai yang keluar senarai nama-nama menteri Kabinet, setiap hari ada senarai baharu…tapi semuanya tak betul,” katanya.

Ismail yang juga naib presiden Umno dilantik sebagai perdana menteri Sabtu lalu selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikannya menerusi serahan akuan berkanun (SD) termasuk perjumpaan seorang demi seorang Ahli Parlimen yang menyokongnya, berjumlah 114 orang.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/23/tpm-dari-sarawak-saya-sedang-pertimbang-kata-ismail/

Baca Juga : Terkini !!! Senarai kabinet? Ismail Sabri akhirnya buka mulut