Ismail Sabri gagal fahami kebencian rakyat

Kerajaan

Melihat senarai menteri dan timbalan menteri yang diumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pagi tadi, kesimpulan paling jelas ia langsung tidak menampakkan sebarang perubahan dan pembaharuan.

Seolah-olah kabinet yang dibentuknya ini tidak lebih merupakan kesinambungan daripada kerajaan gagal pimpinan Mahiaddin Md Yasin sebelum ini.

Kalau dulu ia dinamakan kerajaan PN, susunan kabinet Ismail Sabri ini memperlihatkan ia hampir 100 peratus adalah kerajaan PN 2.0.

Ismail Sabri gagal fahami kebencian rakyat

Kabinetnya adalah kabinet kitar semula, kabinet 69, kabinet kicap lama dimasukkan ke dalam botol baru atau apa-apa saja perbandingan lain yang memberi maksud serupa.

Nampak tidak berguna menjatuhkan Mahiaddin kerana penggantinya Ismail Sabri terang-terangkan menghidupkan kembali kerajaan gagal yang telah dijatuhkan itu.

Apatah lagi dengan mengekalkan sebahagian besar menteri-menteri lama yang dipertikai dan tidak berguna, malah menggantinya pula dengan pemimpin surat khabar lama yang memang sedia dibenci, lebih sedap lagi sebenarnya kabinet ini dinamakan kabinet besi buruk.

Mengekalkan format lama idea Mahiaddin dengan melantik menteri kanan dengan mereka yang sama kembali memegang jawatan lama dengan sendirinya memperlihatkan Ismail Sabri tiada idea baru dan tidak berani melakukan perubahan yang mencerminkan beliau seorang yang ada kemampuan untuk berfikir sendiri.

Sepatutnya beliau mengekalkan jawatan Timbalan Perdana Menteri serta berani melantik mereka yang sesuai untuk jawatan itu kalau pun kiranya enggan bersetuju dengan calon yang dicadangkan Bersatu.

Bukankah kuasa melantik itu merupakan prerogatif Perdana Menteri?

Selain mengekalkan menteri kanan yang menjadi pertikaian, mengekalkan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan dan Dr Radzi Jidin sebagai Menteri Pendidikan turut merupakan sesuatu yang mengecewakan.

Tidakkah Ismail Sabri sedar bagaimana rakyat banyak mengeluh tentang Tengku Zafrul yang lebih menampakkan dirinya sebagai wakil bank berbanding wakil rakyat?

Begitu juga dengan Dr Radzi yang dipertikai oleh hampir semua guru dan ibu bapa berkenaan keberadaannya yang dilihat tidak berfungsi sebagai Menteri Pendidikan selama ini?

Apakah Ismail Sabri tidak sedar suara-suara rakyat bawahan yang sebahagiannya turut diluahkan di media sosial?

Hakikatnya sukar memahami untuk apa dikekalkan kedua-dua menteri yang menjadi pertikaian ramai itu.

Begitu juga dengan Dr Adham Baba yang masih dikekalkan lagi sebagai menteri dengan hanya bertukar kementerian dengan Khairy Jamaluddin, tindakan ini turut sukar difahami logik dan keperluannya.

Apakah Ismail Sabri selama ini tidak pernah mendengar bagaimana Dr Adham dikritik, dipertikai, disindir, dipersenda, dihentam dan dibenci oleh rakyat?

Apakah Ismail Sabri sebenarnya tidak pernah membaca luahan-luahan rakyat di media sosial?

Paling mengecewakan dalam susunan kabinet ini ialah kerana Ismail Sabri membawa masuk muka-muka lama yang sedia dibenci rakyat atas pelbagai isu ketika mereka menjadi menteri di era BN dahulu.

Mambawa masuk Shahidan Kassim, Noh Omar dan Mahadzir Khalid misalnya adalah liabiliti yang akan mendedahkan lagi Ismail Sabri kepada balunan ramai.

Mereka itu adalah besi-besi buruk yang sudah berkarat yang jika digunakan untuk membuat bangunan hanya lebih mungkin membawa keruntuhan berbanding memastikan bangunan tersebut dapat tahan lebih lama.

Mereka itu seharusnya ditunjukkan jalan persaraan, bukan terus diberikan talian hayat yang menyebabkan mereka gila-gila mahu bertanding lagi dalam PRU akan datang.

Dengan Ismail Sabri baru berusia awal 60an, beliau sepatutnya menggunakan kesempatan ini untuk mengangkat ramai muka-muka baru atau menaikkan pangkat beberapa timbalan menteri sebelum ini untuk menjadi menteri, bukan menampilkan wajah-wajah pencen untuk terus diberikan jawatan.

Selain itu mengekalkan saiz kabinet yang dikira masih besar dalam suasana pandemik, kerajaan tidak banyak wang dan ramai rakyat hilang pendapatan adalah cerminan jiwa Ismail Sabri tidak berjiwa prihatin.

Susunan kabinet yang langsung tidak menampakkan pembaharuan ini, selain lebih mungkin menjuruskan Ismail Sabri ke lembah kegagalan yang lebih dalam, bahkan hampir tidak memberi sebab untuk rakyat yang waras dan matang untuk mengekalkan lagi mereka dalam pengundian PRU akan datang.

Berita Penuh : https://shahbudindotcom.net/2021/08/27/kabinet-besi-buruk-ismail-sabri-gagal-fahami-kebencian-rakyat.html

BACA JUGA : Kekal di MITI : Azmin ucap terima kasih kepada Ismail Sabri