Hampir setiap hari Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan sidang media memaklumkan jumlah kes pelbagai kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, Menteri Kanan (Keselamatan) itu sendiri dilihat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah rantaian jangkitan Covid-19 yang paling asas.
Naib Presiden Umno tersebut sudah terang lagi bersuluh mengingkari arahan penjarakan fizikal dan berkumpul tanpa memakai pelitup muka.
Kesalahan itu dikesan daripada dua gambar yang tular memperlihatkan Ahli Parlimen Bera berkenaan hadir dalam satu pertemuan di Melaka kelmarin.
Ismail duduk bersama-sama lebih 10 individu lain di sebuah meja panjang. Mereka yang dilihat seangkatan usia dengan Ismail duduk sebelah-menyebelah tanpa mengamalkan jarak satu meter seperti disyor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka, kerajaan turut menyenaraikan aktiviti pusat hiburan, rentas negeri atau daerah PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan sebagai antara kesalahan ingkar arahan PKP.
Kelmarin, Ismail mengumumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 648 individu kerana didapati melakukan kesalahan mengingkari arahan PKP.
Jelasnya, daripada jumlah itu seramai 594 individu dikenakan dikompaun manakala 54 individu lagi direman.
Berita penuh :https://malaysiadateline.com/menteri-keselamatan-gagal-jarak-jarak-tidak-pakai-pelitup-muka/