Ismail Sabri dakwa pemilihan parti boleh ditangguh hingga 18 bulan

undi percaya

Berdasarkan perlembagaan parti, pemilihan Umno boleh ditangguhkan sehingga 18 bulan dari tamat tempoh penggal tiga tahun yang berakhir Jun ini, kata Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.

Justeru beliau berkata, terpulang kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk membuat keputusan sama ada meneruskan pemilihan parti pada Jun atau menangguhkannya ke suatu tarikh yang sesuai.

“Dari segi perlembagaan pemilihan boleh diadakan, tetapi perlembagaan juga ada memberikan pengecualian sedikit, iaitu pemilihan (parti) boleh ditangguhkan sehingga 18 bulan.

“Kita tunggu MKT punya keputusan,” katanya pada sidang media sempena majlis menandatangani perjanjian pembangunan projek madu kelulut secara komersial antara Pharmaniaga Bhd dan Universiti Malaysia Terengganu, hari ini.

Pada 30 Mac lalu, Khairy Jamaluddin yang juga menteri sains, teknologi, dan inovasi, menggesa pucuk pimpinan Umno mengadakan pemilihan parti itu segera bagi menyelesaikan keadaan yang disifatkannya sebagai “kemelut dalaman”.

Beliau berkata, Umno tidak boleh menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sebaliknya perlu menghadapinya dengan parti diterajui kepimpinan baharu yang diterima rakyat.

Ahli MKT, Reezal Merican Naina Merican turut menggesa Umno mengadakan pemilihan sebelum Mei ini bagi menghormati hak demokrasi ahli melantik pemegang jawatan.

Katanya, atas semangat demokrasi, pemilihan parti patut diadakan pada Mei kerana tempoh pemegang jawatan akan berakhir pada masa itu.

Bagaimanapun, Tajuddin Abdul Rahman yang juga ahli MKT parti itu dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini berkata, Umno akan “berterabur” jika ia mengikut saranan Khairy supaya pemilihan parti diadakan sebelum PRU15.

Mengenai gesaan akar umbi yang mahu menteri Umno berundur daripada kerajaan, Ismail Sabri yang juga menteri kanan (Keselamatan) berkata, perhimpunan agung baru-baru ini meluluskan usul tanpa pindaan, iaitu Umno kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.

“Ia jelas. Jadi spekulasi lain tak perlu setakat ini kerana apa yang diluluskan dalam perhimpunan agung adalah autoriti tertinggi di dalam parti,” katanya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/09/pemilihan-parti-boleh-ditangguh-hingga-18-bulan-kata-ismail-sabri/

COMMENTS

Wordpress (0)