Iskandar Malaysia peroleh pelaburan komited RM16.75 bilion bagi separuh pertama 2019

Iskandar Malaysia memperoleh pelaburan komited berjumlah RM16.75 bilion bagi separuh pertama tahun ini (1H 2019), menyumbang kepada pelaburan komited kumulatif berjumlah RM302.09 bilion dari 2006 hingga Jun 2019.

Angka pelaburan terbaru itu diterjemahkan kepada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) mengagumkan pada 9.7 peratus bagi lima tahun lepas, kata Ketua Eksekutif PIhak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim.

“Rantau ini mencatatkan pelaburan asing sebanyak RM116.7 bilion dari 2006 hingga Jun 2019, iaitu 47 peratus datang daripada sektor perkilangan dan 53 peratus daripada perkhidmatan dan sektor lain.

“China ialah negara utama dari segi pelaburan asing dengan pelaburan bernilai RM40.65 bilion, diikuti oleh Singapura dan Amerika Syarikat dengan pelaburan masing-masing sebanyak RM20.57 bilion dan RM8.11 bilion,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ismail berkata sektor perkilangan yang terdiri daripada produk elektrik dan elektronik (“E & E”), makanan & agro-pemprosesan, dan petroleum & kimia sekali lagi kekal sebagai sektor utama dan terus menjadi tulang belakang sektor yang dipromosikan dengan pelaburan komited kumulatif berjumlah RM71.9 bilion atau 24 peratus daripada jumlah pelaburan.

Sektor perkhidmatan menyumbang RM27.65 bilion atau 9.0 peratus kepada jumlah pelaburan komited kumulatif di Iskandar Malaysia dengan CAGR 13.12 peratus bagi lima tahun.

“Logistik adalah sektor utama dengan RM8.56 bilion pelaburan komited kumulatif diikuti oleh pelancongan sebanyak RM7.86 bilion dan penjagaan kesihatan sebanyak RM4.41 bilion,” katanya.

Ismail berkata selepas 12 tahun sejak penubuhannya pada 2006 dan Iskandar Malaysia kini semakin hampir untuk mencapai visinya menjadi metropolis kukuh dan mampan dalam kedudukan antarabangsa.

“Dalam mencapai visi ini, rakyat mesti menjadi penerima utama faedah ekonomi, sosial dan alam sekitar. Sebab itu kenapa cadangan seperti mengurangkan kesesakan di Tambak adalah kuncinya dan menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.

Ismail berkata pembangunan sosial dan keterangkuman menjadi lebih penting kepada kerajaan, terutamanya dengan model ekonomi ‘Kemakmuran Bersama 2030’, bahawa isu seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional dan literasi kewangan juga dibincangkan pada mesyuarat baru-baru ini.

Beliau menegaskan ia memerlukan sokongan dan kerja berpasukan daripada semua pihak berkepentingan – kerajaan dan sektor swasta serta komuniti untuk memperkasa dan membina wilayah yang kukuh dan mampan dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, serta semua pihak bagi sokongan berterusan diberikan mereka.

Pada mesyuarat Ahli Lembaga IRDA baru-baru ini, Dr Mahathir menegaskan bahawa Iskandar Malaysia terus meraih pelaburan asing dan domestik yang kukuh berikutan kelebihan dari segi geografi dan ekonominya walaupun berdepan pelbagai cabaran global dan tempatan.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi bersama IRDA, percaya bahawa penambahbaikan selanjutnya dalam jaringan hubungan antara rantau dan negara jiran Singapura ditambah pemupukan sektor baharu yang digalakkan seperti aeroangkasa dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan sosial di Iskandar Malaysia.

Menurut IRDA, lebih 300,000 orang menyeberangi Tambak Johor-Singapura setiap hari dan dengan mempunyai jaringan hubungan yang lebih baik yang mengurangkan kesesakan lalu lintas, ia dapat membantu meningkatkan pelaburan dari Singapura, bakat tempatan berkualiti, peluang untuk PKS tempatan, dan jumlah pelancong ‘berbelanja lebih tinggi’, selain meningkatkan keselamatan.

Ismail berkata Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia merupakan satu lagi projek penting yang mencerminkan usaha kemakmuran bersama di wilayah itu.

“Menghubungkan 90 peratus kawasan di Iskandar Malaysia, apabila siap nanti, sistem pengangkutan awam ini bukan sahaja akan menangani masalah jaringan hubungan tetapi juga menyokong peningkatan kualiti hidup dan menguruskan kos sara hidup,” katanya.

BERNAMA