Invest Selangor Bhd yakin minat pelaburan dari China di Malaysia semakin meningkat pada tahun ini, khususnya di Selangor, berikutan konflik perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS), kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor Bhd Datuk Hasan Azhari Idris.
“China adalah pelabur utama Selangor dengan nilai pelaburan sebanyak RM3.93 bilion pada 2018, terutamanya dalam industri pembuatan seperti produk dan kertas logam asas, diikuti oleh Jepun dengan RM435.6 juta dalam industri semikonduktor, automasi kilang, industri automotif dan makanan.
“China mungkin akan mengekalkan kedudukannya sebagai pelabur teratas (di Selangor) untuk tahun ini, dan memindahkan operasi mereka kerana negara itu kini mempunyai pertikaian perdagangan dengan AS,” katanya kepada Bernama.
Beliau bercakap di luar sesi taklimat Siri Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA): Membuka Potensi Perniagaan Di Negeri oleh agensi-agensi kerajaan negeri Selangor.
Bagi tahun ini, kerajaan negeri Selangor menyasarkan untuk mencapai jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM10 bilion.
“Kami berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran ditetapkan oleh kerajaan negeri. Ketika ini, kami hanya mendapat data dikeluarkan oleh MIDA untuk suku pertama 2019 (dari Januari hingga Mac) dan berdasarkan kepada angka itu, ya, masih banyak lagi perlu dilakukan.
“Tetapi, biasanya, kita dapat melihat kenaikan pada separuh kedua, jadi saya percaya kita dapat mencapai sasaran,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan memberi tumpuan kepada lima kluster teknologi tinggi iaitu jentera dan peralatan, pengangkutan dan peralatan, sains hayat, makanan dan minuman, serta elektrik dan elektronik.
Sementara itu, Hasan Azhari berkata Invest Selangor memperuntukkan RM10 juta lagi untuk menjalankan program berkaitan pelaburan di Selangor untuk separuh kedua dari Julai hingga Disember 2019.
“Peruntukan itu mungkin lebih sedikit kerana ada program tertentu yang melibatkan kos yang tinggi.
“Walaupun sebahagian daripada RM7.11 juta untuk tempoh Januari hingga Jun, 2019, kesemuanya telah dibelanjakan untuk pelbagai aktiviti, bukan sahaja melibatkan misi pelaburan perdagangan tetapi juga semua program berkaitan seperti seminar, dialog dan pameran perniagaan yang kami turut serta dan juga dalam penerbitan,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan pembukaan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman berkata kerajaan persekutuan, melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan MIDA terus menggiatkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan peringkat tinggi dan berkualiti ke semua negeri termasuk Selangor, menerusi pemberian insentif fiskal dan bukan fiskal bagi pelabur asing dan domestik.
“Bagi Selangor, sehingga Mac 2019, sejumlah 9,097 projek dengan pelaburan sebanyak RM218.4 bilion telah diluluskan oleh MIDA dalam sektor pembuatan, mewujudkan lebih 802,000 peluang pekerjaan.
“Selangor sememangnya merupakan salah satu lokasi pelaburan yang paling disukai untuk aktiviti pembuatan. Minat berterusan oleh para pelabur telah membolehkan Selangor mencatatkan tahap pelaburan semula yang luar biasa, 40.3 peratus daripada jumlah pelaburan adalah dalam sektor tersebut untuk negeri Selangor,” katanya.
Beliau berkata dari 2010 hingga Mac 2019, sebanyak 902 atau 39.6 peratus daripada projek pembuatan telah diluluskan dalam aktiviti perluasan atau kepelbagaian, manakala pelaburan semula oleh pengeluar sedia ada menyumbang RM37.6 bilion atau 41.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan.
“Pencapaian ini tidak menghairankan kerana Selangor menempatkan lapangan terbang, pelabuhan, lebuh raya dan kemudahan-kemudahan lain yang terbesar dan paling canggih di negara ini.
“Selain infrastruktur dan kelebihan kesalinghubungan, Selangor juga boleh menarik masuk tenaga kerja yang sesuai dan berkemahiran dalam pelbagai bidang, berbakat dan fasih pelbagai bahasa,” katanya.
BERNAMA