Tiga bidang keutamaan iaitu integrasi ekonomi serantau, keterangkuman dan teknologi, inovasi serta kelestarian akan menjadi fokus utama Malaysia apabila ia menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 pada tahun depan, berikutan cabaran yang semakin meningkat dalam persekitaran ekonomi global.
Daripada perang perdagangan kepada dasar pelindungan serta kelembapan ekonomi dunia, APEC 2020 akan mengorak bahagian seterusnya dalam 10 tahun selepas matlamat Bogor berjaya mewujudkan keterbukaan serta kebebasan dalam perdagangan dan pelaburan.
APEC 2020 Malaysia dijangka akan menzahirkan salah satu inisiatif utama forum tersebut.
Sebagai tuan rumah, Malaysia berpeluang untuk menerajui kepimpinan dalam integrasi ekonomi serantau menerusi perdagangan dan pelaburan yang lebih bebas dan terbuka, memandangkan rantau ini sedang berhadapan dengan kelembapan, perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China dan krisis perdagangan yang melibatkan Korea Selatan serta Jepun.
Keempat-empat negara ini adalah kuasa ekonomi dalam APEC dan amat wajar supaya Putrajaya mempengaruhi 21 anggota APEC bagi meneruskan dasar keterbukaan yang akan memanfaatkan negara sedang membangun dan negara perindustrian.
Matlamat Bogor telah diasaskan pada 1994 di Bogor, Indonesia di mana negara-negara anggota telah membuat komitmen untuk mencapai perdagangan dan pelaburan yang bebas serta terbuka menjelang 2010 bagi negara perindustrian dan menjelang 2020 untuk negara yang sedang membangun.
Selain daripada usaha bagi meningkatkan Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) kesemua anggota, Putrajaya juga berada dalam kedudukan yang terbaik bagi memastikan penyertaan ekonomi domestik dalam pembekalan barangan termasuk perkhidmatan, disamping mempamerkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
APEC akan menjadi pentas dalam menyediakan peluang untuk perusahaan ini belajar mengenai dasar-dasar dan amalan terbaik serta mewujudkan sinergi antara PKS tempatan dengan perusahaan dari negara anggota APEC berikutan fungsi PKS sebagai enjin pertumbuhan dan inovasi dalam wilayah APEC.
PKS merangkumi 97 peratus daripada perniagaan dan mengupah lebih daripada separuh tenaga kerja dalam negara-negara APEC.
Malaysia perlu mengambil kesempatan semasa dalam tempoh setahunnya sebagai pengerusi APEC yang dimulakan sejak Disember lepas, bagi memastikan sasaran sumbangan 41 peratus oleh PKS kepada KDNK negara menjelang 2020 tercapai, seperti yang divisikan di bawah Dasar Keusahawanan Negara 2030.
Pada 2018, PKS menyumbang sebanyak 38.3 peratus kepada KDNK iaitu sebanyak US$126.3 bilion (RM521.7 bilion) berbanding dengan 37.8 peratus atau US$117.9 bilion (RM491.2 bilion) pada 2017.
Keterangkuman dan ekonomi digital adalah tidak kurang pentingnya sebagai “e-dagang”, yang merujuk kepada urus niaga produk dan perkhidmatan dalam Internet, ia akan terus kekal dalam ekonomi semasa serta transaksi pada masa depan.
Dianggap sebagai satu inisiatif baharu dalam abad ke-21, platform e-dagang sentiasa menjadi topik popular berikutan keupayaannya sebagai pemboleh yang kuat bagi syarikat mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (MPKS).
E-dagang juga merupakan salah satu segmen perdagangan dunia yang paling cepat berkembang iaitu daripada sifar kepada nilai yang dianggarkan sebanyak US$1.92 trilion sekarang ini.
Inovasi dan kelestarian pula amat penting bagi memastikan keselamatan makanan, sebagai satu ekonomi kitaran dan sebagai tenaga mampan.
Berdasarkan kepada inisiatif-inisiatif tersebut, Malaysia sebagai tuan rumah APEC mahu memupuk rasa bangga di kalangan 31 juta penduduknya, bukan sahaja sekadar sebagai warga negara penganjur tetapi juga untuk memastikan kemantapan ekonomi selama satu dekad selepas 2020.
Sebagai negara tuan rumah, Malaysia berpeluang meletakkan namanya sebagai sebahagian daripada inisiatif APEC selepas Matlamat Bogor disohorkan.
Ditubuhkan pada 1989, APEC beroperasi sebagai satu forum kerjasama ekonomi perdagangan pelbagai hala untuk 21 negara anggota, bertujuan bagi meningkatkan kemakmuran dengan menggalakkan pertumbuhan yang seimbang, inklusif, lestari, inovatif dan terjamin dengan mempercepatkan integrasi ekonomi serantau.
Anggota APEC terdiri daripada 21 negara merangkumi Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Korea Selatan, Republic of China, Thailand dan Vietnam.
BERNAMA