Inspektor Azri steady walau di’provok’, netizen puji

Inspektor Azri steady walau di’provok’, netizen puji

Inspektor Azri steady walaupun di’provok’, dapat pujian netizen. Bukan sekali, tapi tiga kali. Itu situasi yang terpaksa diharungi Inspektor Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Inspektor Mohamad Azri Mohamad Aziz ketika dipertanggungjawabkan untuk mengawal situasi tegang dengan beberapa pekebun durian serta ahli politik baru-baru ini.

Mohamad Azri yang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2005 berkata, beliau menggunakan pengalaman sebelum ini untuk kekal tenang dan tidak melatah walaupun dilemparkan dengan pelbagai provokasi.

“Saya mula berkhidmat dalam PDRM di IPD Pekan sehingga 2010 sebelum berpindah ke IPD Raub pada April 2010.

“Ketika itu saya ditugaskan di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Raub sehingga 2019 sebelum bertugas di Bahagian Ketenteraman Awam (BKA) hingga sekarang.

“Sepanjang bertugas di BKA, tiga kali saya berdepan provokasi libatkan operasi dusun durian termasuk kes yang berlaku hari ini,” katanya kepada kru Rasuah Busters Sinar Harian pada Rabu.

Pegawai berusia 40 tahun itu berkata, dua kes provokasi ditempuhnya pada tahun lalu dan terbaru pada Isnin yang turut melibatkan seorang ahli politik dari Selangor.

Jelasnya, setiap tindakan yang dibuat adalah mengikut arahan pegawai atasannya bertujuan untuk mengawal ketenteraman awam dan petugas yang terlibat sepanjang operasi tersebut.

“Saya tahu kes ini sudah tentu akan ada provokasi. Kalau hendak berdepan dengan orang seperti mereka, emosi kita jangan mudah terpengaruh.

“Saya gunakan pengalaman lama dalam pasukan (PDRM) dan saya pernah bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah sebelum ini,” ujarnya.

Mengulas sama ada ketegasan beliau itu menyebabkannya berdepan ancaman dan ugutan, Mohamad Azri berkata, setakat ini tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Ujar Mohamad Azri, beliau amat berterima kasih kepada Ketua Polis Daerah Raub dan pegawai atasan yang menganggap ketegasannya itu perlu diteruskan tanpa kompromi dan tidak menghiraukan semua kata-kata individu yang tidak sepatutnya.

Justeru, beliau mengingatkan kepada semua anggota dan pegawai baharu dalam PDRM untuk terus kekalkan integriti selain usah gentar dengan sebarang ancaman kerana tugas yang dijalankan adalah sebagai khidmat untuk negara.

Susulan operasi penguatkuasaan penebangan pokok durian di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, Pahang, baru-baru ini, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub di laman sosial Facebook menegaskan bahawa negara memerlukan lebih ramai pegawai polis yang berani dan tegas seperti Mohamad Azri.


Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/148749/BERITA/Nasional/Tiga-kali-diprovok-tapi-tetap-tidak-berganjak

Jika Anda Terlepas: Umum TPM baru bukti Muhyiddin sedang terdesak – Mujahid