Ini manfaat sekiranya peniaga miliki sijil pematuhan cukai, projek kerajaan pun boleh dapat

Ini manfaat sekiranya peniaga miliki sijil pematuhan cukai, projek kerajaan pun boleh dapat.Dalam pembentangan Bajet 2022 yang lalu kerajaan telah mencadangkan pengenalan Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate sebagai sebahagian prasyarat untuk syarikat dan para pembekal yang ingin menyertai perolehan kerajaan bermula pada 1 Januari 2023.

Hal ini bermakna, setiap pembekal atau syarikat yang ingin mendapatkan projek daripada kerajaan adalah diwajibkan untuk memperolehi Sijil Pematuhan Cukai terlebih dahulu. Tanpa sijil ini pembekal atau syarikat berkenaan berkemungkinan tidak akan berjaya mendapat projek tersebut dan ia sudah pasti akan menjejaskan keuntungan mereka kerana tidak lagi berpeluang untuk membuat urusniaga dengan kerajaan.

Apakah Sijil Pematuhan Cukai & Bagaimana Serta Mengapa Ia Dilaksanakan?
Sijil Pematuhan Cukai merupakan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sebagai bukti bahawa pembayar cukai telah memfailkan dan membayar semua cukai yang perlu dibayar sewajarnya.

Cadangan ini bukanlah satu amalan baharu tetapi ia telah lama diamalkan secara meluas di negara-negara lain di dunia seperti United Kingdom (UK), Ireland, Singapura, Fiji, Afrika Selatan dan sebagainya. Menurut laporan daripada Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), pelaksanaan Sijil Pematuhan Cukai telah berjaya meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai dan ia merupakan langkah berkesan untuk mencegah ketirisan hasil cukai.

Secara tidak langsung langkah ini juga akan mendisiplinkan semua pembekal terutamanya syarikat yang ingin mendapatkan kontrak atau tender daripada kerajaan agar patuh kepada undang-undang percukaian. Ia juga mampu memperluaskan asas cukai pendapatan apabila setiap pembekal dan syarikat akan memastikan mereka mempunyai fail cukai dengan HASiL dan membuat pengisytiharan cukai pada setiap tahun serta melunaskan amaun cukai yang dikenakan kepada mereka. Keadaan ini sekaligus akan memberikan keadilan kepada pembayar cukai yang selama ini patuh kepada undang-undang cukai.

Pelaksanaan Sijil Pematuhan Cukai ini akan mewajibkan semua pembekal atau syarikat untuk mempunyai nombor rujukan cukai pendapatan bagi mengakses sistem perolehan. Bagi pembekal yang tidak mempunyai nombor rujukan cukai pendapatan, mereka hendaklah membuat permohonan nombor berkenaan kepada HASiL terlebih dahulu.

Permohonan nombor berkenaan boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem e-Daftar di www.hasil.gov.my atau secara manual di mana-mana Kaunter Perkhidmatan Percukaian dan Pejabat Cawangan HASiL .

Terdapat dua kriteria khusus yang diambil kira oleh HASiL dalam pengeluaran Sijil Pematuhan Cukai. Kriteria berkenaan ialah seperti yang berikut:

Pematuhan yang baik dalam hal pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP); dan
Pematuhan yang baik dalam hal bayaran cukai pendapatan.
Dalam hal pematuhan bayaran cukai pendapatan, mana-mana pembekal atau syarikat yang telah diberikan kelulusan untuk pembayaran cukai secara ansuran turut akan dikategorikan sebagai pembayar cukai yang patuh dengan syarat mereka mestilah mematuhi jadual pembayaran ansuran yang telah ditetapkan oleh HASiL.

Bagi pembekal atau syarikat yang tidak memenuhi kriteria pengeluaran Sijil Pematuhan Cukai yang ditetapkan oleh HASiL, adakah peluang mereka untuk mendapatkan sijil ini akan tertutup sepenuhnya? Jawapannya ialah TIDAK.

Hal ini kerana Kementerian Kewangan telah menetapkan bahawa bagi kes-kes tidak patuh yang disebabkan oleh isu teknikal (rayuan), kes-kes mahkamah dan sebab-sebab lain, Sijil Pematuhan Cukai boleh dikeluarkan berdasarkan merit kes dan juga tertakluk kepada kelulusan bersyarat oleh Kementerian Kewangan (MOF).

Sebagai usaha memudahkan urusan pengeluaran sijil ini, HASiL akan menyediakan sistem permohonan agar semua permohonan oleh pembekal dan syarikat boleh dibuat secara dalam talian mulai Januari 2023. Tempoh sah laku sijil ini pula ialah satu tahun, maknanya pembekal boleh menggunakan Sijil Pematuhan Cukai yang sama untuk membida kontrak dengan mana-mana agensi kerajaan dalam tempoh satu tahun sijil tersebut dikeluarkan. Setelah tempoh satu tahun tersebut tamat, pembekal atau syarikat boleh membuat permohonan Sijil Pematuhan Cukai yang baharu.

Sehubungan dengan itu, setiap pembekal dan syarikat adalah disarankan agar memastikan urusan cukai pendapatan mereka ditadbir dengan sebaik mungkin supaya mereka tidak menghadapi masalah apabila cadangan ini mula dilaksanakan pada tahun 2023. Sebarang pertanyaan berkaitan cadangan ini boleh diajukan kepada HASiL melalui:

Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
HASiL Live Chat; dan
Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

BACA JUGA : Gagal ajar anak jawapan ‘800 – 700’, bapa nekad baring di tengah jalan
LHDN jadi ‘senjata’ untuk musnahkan karier politik beliau, dakwa Najib
Tak dapat BPN seperti dijanji, LHDN lanjutkan tempoh rayuan

Artikel ini disiarkan pada 13/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)