Pejam celik, tahun 2024 kini menghampiri penghujungnya. Pelbagai peristiwa, sama ada manis mahupun pahit, mencorakkan perjalanan sepanjang tahun ini.
Sebelum membuka lembaran baharu, mari kita imbas kembali carian paling popular di Google Malaysia sepanjang tahun ini.
1) Sukan – UEFA Euro 2024
Sepanyol menjuarai Euro 2024 selepas menewaskan England 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Olympiastadion, Berlin pada 14 Julai 2024.
Temasya yang berlangsung di Jerman dari 14 Jun hingga 14 Julai itu menarik perhatian ramai rakyat Malaysia, menjadikan Euro 2024 carian tertinggi dalam kategori sukan.
2) Berita – Sumbangan Tunai Rahmah (STR)
Program bantuan kewangan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) terus menjadi topik hangat sepanjang tahun. Inisiatif kerajaan ini bertujuan meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
STR menjadi carian kedua tertinggi, mencerminkan keprihatinan rakyat terhadap bantuan yang disediakan oleh pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
3) Figura – Ruhainies
Pelakon Ruhainies, atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, menjadi perhatian selepas ditangkap khalwat bersama aktor Aliff Aziz.
Kes yang masih dalam proses mahkamah ini dijangka disebut semula pada Februari tahun hadapan. Ruhainies mendahului senarai carian popular bagi kategori figura, diikuti Datuk Azizulhasni Awang, Aliff Aziz, Kunlavut Vitidsarn, dan Faisal Halim.
4) Kematian – Liam Payne
Dunia dikejutkan dengan berita kematian bekas anggota One Direction, Liam Payne, pada 16 Oktober 2024. Liam, 31, ditemukan maut selepas terjatuh dari tingkat tiga balkoni bilik hotelnya di Buenos Aires, Argentina.
Punca kematiannya masih menjadi misteri, meskipun laporan awal mengaitkannya dengan penggunaan dadah dan alkohol.
5) Rancangan TV – Queen of Tears
Drama Korea Queen of Tears berjaya mencuri hati penonton di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Menampilkan lakonan mantap Kim Soo-Hyun dan Kim Ji-Won, drama ini mengisahkan cabaran rumah tangga pasangan dari latar belakang berbeza. I
a mencatatkan rating tertinggi, mengatasi rekod sebelumnya oleh Crash Landing On You.
Sebagai penutup, tahun 2024 ternyata penuh warna-warni dengan pelbagai peristiwa yang mencetuskan perbincangan hangat. K
ini, kita bersiap sedia melangkah ke tahun baharu dengan azam dan harapan yang segar.
BACA: Burger Zinger Crispy percuma untuk ibu mengandung raih pujian ramai