Ini 10 sebab mengapa berbaloi tunggu 6 bulan untuk dapatkan Proton X50. Bagi penulis, ada 2 faktor utama yang menjadikan kereta sedap dipandu atau tidak. Faktor pertama ialah ia mesti datang dengan cesi atau platform yang mantap. Faktor kedua ialah ia wajib digandingkan dengan trenkuasa yang dinamik.
Gabungan kedua-dua faktor ini akan menjadikan pengalaman pemandu sesuatu kereta ini manis atau tawar. Selepas memandu uji Proton X50 1.5 TGDi Flagship, 90% pengalaman pemandu menyebabkan penulis senyum lebar dan hanya 10% sahaja yang menyebabkan penulis senyum tawar.
2 faktor utama Gabungan tadi dengan rekaan moden yang dihasilkan oleh Jamie Berret menjadikan tempoh menunggu untuk Proton X50 6 bulan
Ini pemerhatian penulis selepas memandu uji Proton X50 1.5 TGDi ini selama 4 hari dan ia tidak sama dengan tempoh pandu uji anda hanya sekitar 10 minit sahaja.
1. Rekaan Luar – ketika mula-mula nampak X50 di atas jalan, ia tidak menimbulkan rasa teruja yang sama seperti kita melihat X70 ketika dilancarkan. X70 ketika mula dilancarkan kelihatan amat gah sekali manakala X50 berada dalam segmen B bersaing dengan Honda HR-V, Mazda CX-30, Ativa dan juga Aruz nampak sedikit kecil
Tapi lama kelamaan, penulis perasan ia bagaikan adik kepada Volvo XC40 dengan “design language” yang hampir sama. plastik di bahagian sisi yang minima, lekuk di bahagian tepi kereta yang tegap, rekaan krom di bahagian pintu, serta bumbung dicat dengan hitam menjadikan X50 serupa dengan XC40.
2. Rekaan Dalam – lebih moden berbanding dengan X70 dari segi rekaan dan juga bahan yang digunakan. Bumbung dengan fabrik hitam digunakan bagi mengelakkan cahaya matahari daripada masuk, kemasan kulit berwarna merah memberikan imej sporti pada kusyen dan papan pemuka.
Penggunaan plastik dengan corak aluminium brush digunakan pada bahagian papan pemuka, konsol tengah yang meletakkan unit kawalan gear serta rekaan tombol gear 7 kelajuan DCT dengan rekaan moden menjadikan ruang dalam X50 membuka sesiapa sahaja yang melihatnya untuk kali pertama. Ringkas dan moden.
3. Pengalaman Pemanduan
3.1 Enjin- enjin 3 silinder turbo dengan sesaran 1500cc ini menghasilkan 177 kuasa kuda pad 5500 RPM dan 255Nm tork antara 1500-4000RPM. Walaupun hanya 3 silinder sahaja, tapi anda tak boleh rasa enjin bergegar pada cesi dan juga stering disebabkan enjin ini dilengkapi dengan mass balancer. Kuasa yang dihasilkan cukup mengujakan dan tork sentiasa ada untuk membantu pecutan
3.2 Dual Clutch Transmission- X50 dilengkapi dengan transmisi klac berkembar DCT 7 kelajuan dan unit operasi ini amat lancar dan bertenaga. Amat susah untuk mengesan sebarang sentapan walaupun ketika kesesakan dalam raya. Mode operasi manual 7 kelajuan ada disediakan tetapi penulis jarang sekali menggunakannya
Pecutan 0-100km/j dibuat dalam masa 7.9 saat sahaja. Walaupun sesetengah laman web menyiarkan halajunya ialah 195km/j, tetapi penulis membuktikan ia boleh pergi lebih laju lagi. Amat sukar untuk tidak berada di lorong kanan lebuh raya dan anda perlu berdisiplin untuk mengawal kaki agar tidak terus memecut melebihi halaju kebangsaan
Terdapat 3 mode pemanduan yang disediakan iaitu ECO, Normal dan juga Sport. Walaupun menggunakan ECO, tetapi kuasa yang dihantar tetap lancar. Untuk pemanduan laju di lebuhraya, cukup menggunakan mode Normal sahaja. Pesaingnya yang menghasilkan 140 kuasa kuda nampak mengah apabila cuba mengejar X50
3.3 Dinamik Pemanduan- kualiti pemanduan, keselesaan dan juga pengendalian X50 yang menggunakan cesi B Modular Architecture boleh digunakan. Pengendalian X50 boleh disimpulkan sebagai “solid as rock” sama seperti memandu sebuah kenderaan jenama Continental.
Gandingan enjin yang bertenaga, transmisi 7 kelajuan DCT yang lancar serta cesi BMA yang mantap menghasilkan pengalaman pemanduan yang baik ketika memandu perlahan atau laju. Ketika memandu pada halaju menghampiri 2 kali ganda halaju kebangsaan, penulis berani melepaskan kedua belah tangan dan cesi X50 terasa sangat stabil
Suspensi depan menggunakan topang McPherson dan di bahagian belakang menggunakan torsion beam dengan tetapan penyerap hentak ditala dengan sedikit lembut. Boleh dikatakan tetap penyerap hentak X50 adalah seimbang bagi keselesaan dan pengendalian.
Mungkin X50 akan mengalami sedikit understeer jika dipandu laju. Tetapi secara keseluruhan olengan cesi ketika selekoh tidak terasa langsung. Jangan risau kerana penulis yakin ia boleh beraksi cemerlang di laluan berselekoh tanpa was-was
Tapi dengan sedikit pembetulan pada stering ia akan masuk semula ke selekoh dengan bersahaja, walaupun pada 170km/j. Input yang pada stering menghasilkan tindak balas yang cepat pada cesi, tidak terlalu berat dan juga terlalu ringan.
Dengan berat sekitar 1370kg dan 177 kuasa kuda, X50 terasa lebih lincah berbanding X70 yang menggunakan cesi lama. Dalam aspek brek, X50 menggunakan brek cakera depan sejukan udara dan brek belakang cakera dan ia berfungsi dengan pantas
4. Ergonomik – satu lagi aspek yang boleh dipuji ialah rekaan kusyen pemandu depan dan juga penumpang, ngam-ngam dengan ketinggian penulis 165cm. Tetapi jika anda berbadan besar dan tinggi, maka pilihan yang lebih tepat ialah X70 kerana kaki yang panjang akan menyebabkan kaki anda terasa tergantung.
Apabila diubah pada kedudukan maksimum pun, masih ada ruang kaki yang baik untuk penumpang belakang terima kasih pada jarak antara roda 2600mm. Sudut penyandar untuk penumpang belakang adalah lebih bagus berbanding X70 dengan sokongan yang baik pada bahagian belakang dengan kaki.
Untuk perjalanan jarak jauh, 2 penumpang dewasa boleh duduk dengan selesa.
5. Ruang – X50 menyediakan 330 liter ruang kargo dengan tayar kecemasan disimpan dibawah lantai ruang kargo. Cukup untuk 4 penumpang untuk balik kampung tetapi jika anda bercadang untuk memuatkan basikal anak, mungkin sedan menawarkan ruang yang lebih selesa
Ada 8 tempat untuk meletakkan botol minuman, kotak sarung tangan bersaiz sederhana dan tangan untuk memuatkan barangan peribadi lain. Poket pintu depan boleh dikatakan agak besar untuk memuatkan peranti smart tag dan juga telefon
6. Mewah -antara pembaharuan yang diberikan pada X50 berbanding X70 ialah menukar fabrik di bahagian syiling kepada warna hitam berbanding dengan warna krim. Anda boleh membuka pelindung matahari atau tirai untuk menikmati fungsi sunroof dan moonroof.
Cermin suria juga boleh dibuka dengan menggunakan arahan suara tetapi pada kebanyakan masa penulis lebih suka menikamati penyaman udara. Penyaman udara masih menggunakan butang untuk mengawal suhu, tetapi sebaik sahaja diubah, panel kawalan penyaman udara akan timbul di skrin 10.25 inci ala-ala Volvo.
Jika anda bosan memandu seorang diri untuk jarak jauh, arahkan saja pada sistem arahan Hi Proton untuk mengubah suhu penyaman udara, membuka radio, arahan navigasi dan membuka cermin sisi. Sistem ini lebih baik berbanding dengan sistem yang ada pada jenama mewah buatan Jerman.
7. ADAS dan Ciri Keselamatan – X50 TGDi Flagship menawarkan ciri Amaran Perlanggaran Hadapan, Brek Pra Perlanggaran, Bantuan Lorong, Amaran Berlepas Lorong, sistem amaran titik buta, sistem amaran lintasan trafik belakang, Kawalan Pancaran Tinggi Pintar dan Kawalan Pelayaran Adaptif dengan Ciri Hentian dan pergi.
Apa yang menarik berkenaan dengan ciri Forward Collision Warning, ia akan memantau sepanjang masa supaya kita memandu pada jarak yang selamat. Jika kita melangkawi (ehhh) batas, sistem akan memberi amaran pada paparan meter digital.
Tetapi jika ia mengesan kenderaan di hadapan, ia akan menjadi lebih pantas dan kuat dari anda. Jadi jangan gatal-gatal nak cuba mencucuk kenderaan di depan kerana ciri FCW X50 ini sangat sensitif. Ketika memandu di lebuh raya dengan cuaca hujan, sistem ADAS X50 ini akan gagal selamat dan meminta anda mengambil alih semua pemanduan
8. NVH – X50 beraksi dengan cemerlang dalam aspek gegaran (vibration) dan kekasaran (harshness) namun terdapat bunyi angin yang agak jelas dari tiang A ketika halaju mula mencecah 70km/j. X50 mencatatkan 18dB jika enjin dimatikan, menjadi 40dB ketika enjin dihidupkan dan 45dB ketika penyaman udara beroperasi
Pada halaju 100km/j, bacaan meningkat kepada 65dB, menjadi 68dB pada halaju 120km/j dan 73dB pada 140km/j disebabkan bunyi angin tersebut (bunyi angin).
9. Keselesaan Penumpang – Perehat tangan disediakan di bahagian belakang dengan 2 tempat meletak botol minuman, 2 corong penyaman udara, 3 poin USB, 1 poin 12 volt, poket simpanan di bahagian depan, serta 2 cagak ISOFIX untuk pemasangan kerusi bayi.
10. Penggunaan Petrol – bergantung kepada kaki kanan yang memijak pedal minyak. Dalam keadaan pemanduan terkawal dengan laju antara 110-120km/j dengan sekali sekala terbabas ke 170km/j, X50 mencatatkan bacaan sekitar 12km seliter petrol
Jika anda memandu dengan berhemah mungkin anda akan dapat 15.6km seliter seperti yang diiklankan. Jika anda memandu laju dengan bersemangat (160km/j dan ke atas) ia akan mencapai sekitar 9.23km seliter.
Hanya 2 faktor ini yang menyebabkan penulis senyum tawar selepas memandu uji X50. Penggunaan petrol yang tidak berapa jimat (salahkan kaki kanan sendiri) dan bunyi angin yang kuat pada cermin depan. Selain daripada itu, X50 memang sedap dipandu. Lebih sedap dari X70 yang kami uji dulu.
Cesi yang solid, enjin yang dinamik, pengendalian yang seimbang serta beberapa ciri unik seperti arahan suara Hi Proton menjadikan X50 ini pilihan pembeli baru. Dengan harga sekitar RM 103,300 dengan pengalaman pemanduan seperti sebuah kereta dari jenama yang mahal, jadi tak hairanlah pembeli Proton X50 perlu menunggu sehingga 6 bulan untuk mendapatkan crossover ini.