Sebanyak RM72.72 juta dikumpul melalui notis kompaun yang dikeluarkan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 setakat akhir Ogos lalu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Ketika menjawab pertanyaan Teh Kok Lim (PH-Taiping) di Dewan Rakyat beliau berkata, ia diterima daripada 181,704 kompaun yang dikeluarkan sejak pandemik bermula Mac 2020.
Dalam jawapan berasingan kepada Su Keong Siong (PH-Kampar), Khairy menghuraikannya dengan berkata, walaupun sebahagian besar notis kompaun itu dikeluarkan tahun ini, majoriti kutipan dibuat pada 2020.
Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 181,704 notis kompaun dikeluarkan sejak pandemik bermula Mac 2020. (Gambar Bernama)
Pada 2020, sebanyak 67,542 notis kompaun dikeluarkan dengan 43,685 daripadanya dibayar yang berjumlah RM43.6 juta.
Sebanyak 114,162 notis kompaun dikeluarkan sepanjang tahun ini, tetapi hanya 26,627 daripadanya dibayar yang berjumlah RM29.1 juta.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/10/05/lebih-rm72-juta-kompaun-ingkar-sop-covid-19-dikutip-kata-khairy/