Individu lengkap vaksin tetap tak boleh rentas daerah

Sabah akan terus melaksanakan larangan perjalanan antara daerah, termasuk untuk individu divaksin sepenuhnya susulan lonjakan kes harian Covid-19 sejak beberapa minggu lalu.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, walaupun terdapat usaha pihak berkuasa melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kawasan terjejas, jumlah kes masih tinggi dan terus meningkat.

“Sekatan jalan akan terus dilaksanakan kerana perjalanan antara daerah masih tidak dibenarkan. Rakyat perlu mematuhi SOP ini dengan ketat,” katanya dalam kenyataan.

individu

Hajiji Noor berkata, sekatan jalan akan terus diadakan untuk menghalang perjalanan rentas daerah. (Gambar Bernama)

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, negeri itu tidak mahu memburukkan lagi keadaan dengan membenarkan pergerakan bebas rakyat terlalu cepat.

“Berdasarkan jumlah kes yang tinggi, kami masih membuat penyelarasan untuk memastikan sebarang pelonggaran SOP tidak akan membahayakan usaha kami mengekang pandemik,” katanya kepada FMT.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan kelonggaran beberapa peraturan Covid-19 di negeri Fasa 2 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), termasuk membenarkan perjalanan antara daerah untuk individu yang divaksin sepenuhnya.

SOP disemak semula untuk Sabah yang dikeluarkan semalam bagaimanapun menyatakan larangan perjalanan antara daerah masih dikuatkuasakan, kecuali untuk kes kecemasan, tugas rasmi dengan surat sokongan majikan, janji temu vaksinasi dan perkhidmatan utama.

Hajiji dalam kenyataannya berkata, antara langkah untuk memerangi Covid-19 adalah mendapatkan sebanyak mungkin dos vaksin dan memastikan SOP dipatuhi setiap masa.

“Kami menggesa rakyat tidak mengadakan perhimpunan yang akan membabitkan ramai orang buat masa ini. Kami mahu mereka lebih berdisiplin, hanya dengan cara ini kita boleh melandaikan lekukan.”

Katanya, Sabah akan mendapat 200,000 dos vaksin CanSino dos tunggal minggu depan susulan jaminan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin yang negeri itu akan mendapat keutamaan bekalan.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/13/larangan-rentas-daerah-di-sabah-kekal-walaupun-lengkap-divaksin/

BACA JUGA : Covid-19 : Petugas makmal Wuhan mungkin dijangkiti ketika ambil sampel kelawar