Iklan raya judi : Tak semua kandungan digital dapat dikawal KKMM – Menteri

Iklan raya judi : Tak semua kandungan digital dapat dikawal KKMM – Menteri

Tidak semua kandungan digital dapat dikawal Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) termasuk penyebaran iklan hari raya yang mempromosi aktiviti perjudian yang tular, baru-baru ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata, kebebasan itu masih tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada.

“Tentulah ada batas-batasnya, sekiranya seseorang melanggar suatu hal maka dia harus bersedia untuk berhadapan dengan hukuman.

“Kita mengamalkan kebebasan media tapi tidak bermakna bebas untuk menipu, bebas untuk menularkan berita palsu dan sebagainya,” katanya pada sidang media di pejabat KKMM, hari ini.

Khamis lalu, sindiket perjudian dalam talian dikesan memperhebatkan promosi kegiatan haram itu di media sosial sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Dalam video lagu raya yang tular itu memaparkan aksi lakonan, nyanyian empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita yang mana liriknya menggalakkan serta mengajak orang awam berjudi untuk mendapatkan ‘duit raya’.

Bagaimanapun, semalam, satu lagi iklan judi raya dikesan tular di media sosial menggunakan judul Hari Raya Berkaya, video berdurasi 3 minit 18 saat itu jelas mempromosikan aktiviti judi secara dalam talian.

Video tersebut memaparkan dua pelakon masing-masing seorang lelaki dan wanita menceritakan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri apabila mendapat wang daripada aktiviti perjudian.

Dalam pada itu, Saifuddin juga mengulangi janji kerajaan sebelum ini untuk terus mengamalkan kebebasan media termasuk media sosial meskipun timbul video kontroversi itu.

“Kerajaan telah pun membuat janji yang kita akan mengamalkan kebebasan media termasuk media sosial.

“Tentu masih ingat kenyataan yang saya buat selepas satu sidang Parlimen hampir setahun lalu di mana kita kata takkan nak kawal media sosial, takkan nak lesenkan media sosial,” katanya.

Saifuddin juga mengingatkan rakyat khususnya bukan Islam agar tidak menimbulkan perkara yang boleh menggusarkan dan sensitiviti umat Islam.

“Janganlah ada sesiapa rakyat Malaysia yang cuba mengganggu ketenangan umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa.

“Hari Raya Aidilfitri dari satu segi satu perayaan tetapi bagi umat Islam ia juga ibadah

“Apabila berlaku penyebaran video iklan raya berunsur judi atau unsur-unsur lain yang bertentangan dengan maksud ibadat tentulah terganggu ketenangan umat Islam,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan memahami keperluan media sosial dan kehidupan masyarakat digital, malah mustahil untuk untuk mengawal semua perkara

“Jadi kita faham kedudukan dan kehidupan dalam masyarakat digital, kerajaan tetap mempertahankan kebebasan media termasuk media sosial,” katanya lagi.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2021/04/18/video-raya-judi-tak-semua-perkara-boleh-dikawal/