Idris Jusoh kata tiada paksaan rujuk surat wajibkan peneroka Felda sedekah RM300

Idris Jusoh kata tiada paksaan rujuk surat wajibkan peneroka Felda sedekah RM300

Pengerusi Felda Idris Jusoh mengingatkan tiada paksaan dalam bersedekah, susulan surat yang tular membabitkan Felda Sungai Tekam Utara, Pahang, berhubung kutipan derma RM300 terhadap peneroka di kawasan berkenaan.

“Dalam sedekah tidak ada paksaan,” katanya ringkas kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sepucuk surat diedarkan kepada peneroka Felda Sungai Tekam Utara pada 14 Oktober lalu. Surat itu menyatakan, Felda Sungai Tekam Utara dan Felda Jengka 19 dipilih menjadi perintis bagi program “Jom Sedekah” dilancarkan Felda.

Menurut surat dengan cop pengerusi jawatankuasa kemajuan dan kemakmuran kampung Felda Sungai Tekam Utara menyatakan, Idris melalui program “Well Formed Outcome” memberitahu antara perkara dititikberatkan dalam usaha mengembalikan kestabilan Felda adalah elemen “keberkatan”.

Surat itu turut menyatakan, setiap peneroka diwajibkan ke atas diri masing-masing menginfaqkan sumbangan ikhlas yang dianggap sebagai sedekah jariah sebanyak RM300 seorang dan kutipan itu bermula Oktober hingga Mac 2021, dengan kadar kutipan RM50 sebulan atau boleh membuat bayaran pukal.

FMT bagaimanapun tidak dapat mengesahkan mengenai surat itu.

Terdahulu, Adun Ketari Young Syefura Othman memuat naik surat itu di Twitter miliknya dan mempersoalkan mengenai arahan mewajibkan peneroka bersedekah demi mencari “keberkatan” dalam usaha memulihkan Felda.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) Mazlan Aliman berkata, walaupun bersedekah merupakan amalan mulia dan dituntut dalam Islam, tindakan mewajibkannya adalah unsur paksaan dan keterlaluan.

“Dalam situasi pendapatan dan pelbagai potongan dikenakan ke atas peneroka, apatah lagi kesan Covid-19 dan kos sara hidup yang tinggi, saya menggesa pekeliling ini ditarik balik.

“Potongan atau kutipan secara sukarela boleh diteruskan, tetapi ia mestiah bergantung kepada kemampuan dan kesediaan peneroka,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, jemaah menteri meluluskan cadangan penerbitan sukuk oleh Felda bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan Felda yang dikemukakan.

Beliau berkata, kedudukan kewangan Felda dijangka mencatatkan aliran positif bermula 2023 dengan pelaksanaan inisiatif itu.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/31/tiada-paksaan-idris-jusoh-jawab-surat-wajibkan-peneroka-derma-rm300/