Ibu bapa kini berhabis duit untuk capaian internet bagi pembelajaran anak

Ibu bapa kini berhabis duit untuk capaian internet bagi pembelajaran anak

Akses internet yang lemah mengakibatkan ibu bapa terpaksa menanggung kos yang tinggi kerana perlu membeli data daripada pelbagai jenis syarikat telekomunikasi (telco) semata-mata mahu memastikan anak-anak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian.

Bagi Juliana Hashim, 37, seramai tiga anaknya berusia tujuh, 14, dan 17 perlu mengikuti kelas dalam talian yang akan diadakan dari pagi hingga petang.

Menurut ibu kepada empat anak itu, sebelum ini, dia hanya mempunyai nombor daripada dua telco sahaja, namun, sejak kelas dalam talian diadakan perlu menambah empat lagi nombor bagi memastikan akses internet mudah didapati.

“Bagaimanapun, membeli nombor daripada pelbagai jenis telco tidak menyelesaikan masalah kerana akses internet tetap sukar didapati. Malah, saya dan suami terpaksa menanggung kos begitu tinggi iaitu kira-kira RM800 sebulan untuk membeli data.

“Bukan sahaja berhabis duit, bahkan data yang dibeli juga tidak habis digunakan kerana aksesnya sukar didapati. Malah, di kampung sebelah juga terpaksa datang ke sini semata-mata mendapatkan akses internet kerana kawasan mereka langsung tidak dapat internet,” katanya yang tinggal di Blok B, Sawah Sempadan di sini.

Sementara itu, Sumiyati Basir, 52, berkata, dia terpaksa menghabiskan wang beribu termasuk membeli kelengkapan pembelajaran untuk anaknya mengikuti kelas dalam talian.

Jelasnya, sejak kelas dalam talian dilaksanakan, dia menghabiskan kira-kira RM300 setiap bulan untuk mendapatkan akses internet termasuk menggunakan rangkaian jalur lebar (Unifi).

“Di rumah memang ada sediakan Unifi, tetapi tidak membantu kerana aksesnya lemah. Oleh demikian, setiap hari saya akan membeli data bagi memastikan datanya mencukupi untuk anak menggunakan bagi kelas dalam talian.

“Malah, bagi memastikan anak dapat belajar, saya membeli komputer riba bernilai RM4,300 kerana dia perlu menggunakannya kerana bersekolah di vokasional dan banyak membuat latihan amali,” ujarnya.

Bagi Mohd. Zamri Kahar, 52, dia berharap kerajaan tidak melihat semula capaian akses internet di kawasan-kawasan luar bandar.

“Ibu bapa telah berhabis duit untuk menyediakan kelengkapan untuk anak-anak belajar dalam talian, malah ada yang sanggup meminjamnya kepada saudara.

“Secara peribadi, saya sendiri membuat studio khas untuk anak-anak bagi mereka mengikut kelas dalam talian. Saya mempunyai dua anak yang menggunakan komputer dan mereka terpaksa berkongsinya untuk melakukan kerja,” katanya. –UTUSAN ONLINE