Ibu bapa arwah mangsa basikal lajak perlu diheret ke mahkamah, kata peguam

Ibu bapa arwah mangsa basikal lajak perlu diheret ke mahkamah, kata peguam. Adalah tanggungjawab ibu bapa untuk mengawasi dan memberi kebebasan atau sebaliknya kepada anak mereka supaya tidak menjadi sebahagian daripada statistik kematian pengguna jalan raya, menurut seorang peguam.

Nor Zabetha Muhammad Nor berkata, kanak-kanak dan remaja tidak seharusnya diberikan kebebasan oleh ibu bapa atau penjaga untuk melakukan aktiviti berkumpulan rakan sebaya di jalan raya terutamanya pada lewat malam.

“Selagi mereka masih berusia 18 tahun ke bawah, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa atau orang yang memelihara mereka, seperti keluarga angkat, datuk atau nenek,” katanya kepada FMT.

Walaupun terdapat remaja yang mampu mengendalikan diri sendiri, Nor Zabetha mengingatkan bahawa ia masih tanggungjawab ibu bapa berusaha memastikan anak-anak mereka berada dalam keadaan selamat.

Nor Zabetha Muhammad Nor.
“Kadangkala ibu bapa, bila nampak anak remaja mereka seolah-olah sudah matang, diberikan kebebasan. Bebas bercinta, bebas berpeleseran, bebas menunggang motosikal tanpa lesen.”

Kebebasan yang diberikan itu jelasnya, masih belum selayaknya diberikan kepada remaja walaupun sudah mencapai usia 17 tahun.

“Mereka nampak seperti boleh berdikari tetapi mereka tetap tanggungjawab ibu bapa,” katanya.

Mengulas tragedi remaja berbasikal lajak serta menunggang kapcai tanpa lesen, beliau berpendapat penguatkuasaan Akta Kanak-kanak 2001 perlu dikenakan terhadap ibu bapa kerana kecuaian atau mengabaikan tanggungjawab.

“Jika mereka yang memelihara (kanak-kanak) ini gagal untuk menjaga, mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi, maka ia menjadi kesalahan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” kata Nor Zabetha, yang aktif mengupas isu semasa di media sosial.

Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas kanak-kanak dan mengabaikan atau mendedahkan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Nor Zabetha berkata, pelaksanaan Akta Kanak-kanak ke atas ibu bapa atau penjaga yang bersikap ambil mudah dan cuai adalah langkah sebaiknya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan seorang kerani berusia 27 tahun dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000 kerana menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak berusia 13 hingga 17 tahun di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Dengan melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa, Nor Zabetha berkata: “Saya faham kesedihan yang dialami oleh ahli keluarga mangsa tetapi hal begini dapat dielakkan sekiranya kanak-kanak begini berada dalam jagaan dan pengawasan ibu bapa.”

“Pada hari kejadian beberapa kanak-kanak dan remaja lain berada di kawasan tersebut pada jam 3 pagi untuk berlumba basikal,” katanya.

“Sepatutnya ibu bapa perlu menjaga anak-anak ini dan memastikan mereka berada di rumah dan tidak berada di kawasan jalan raya pada waktu gelap yang berkemungkinan membahayakan mereka.”

Beliau turut menggesa agar Akta Kanak-kanak diguna pakai terhadap ibu bapa yang membenarkan kanak-kanak dan remaja menunggang motosikal tanpa lesen sehingga menjurus kepada kecederaan dan kematian di jalan raya.

Dua hari lalu, tiga penunggang motosikal kapcai berusia 14 dan 15 tahun maut akibat pelanggaran sesama sendiri pada lewat malam di Kampung Sungai Satan, Jeli, Kelantan.

Menurut statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, 2,688 kanak-kanak dan remaja berumur enam hingga 15 tahun terbunuh akibat kemalangan motosikal dari 2009 hingga 2020.

BACA:

Bella disumbat hampir 1,200 biji cili dalam mulut, kata saksi

Mengejutkan! Pakar kongsi video keadaan Matahari terkini

Ini tarikh bayaran dan jumlah sebenar Bantuan Aidilfitri dari kerajaan

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)