Husam Menang Saman Fitnah AMANAH Terima Dana Taukey Judi Dari DAP

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Hj Husam Musa hari ini menang kes saman fitnah terhadap Datuk Dr. Wan Zawawi Wan Ismail berkaitan penyiaran tulisan di akaun Facebook Zawawi.

Zawawi di dalam status facebooknya menuduh bahawa AMANAH negeri Kelantan menerima duit dari seorang taukey judi dari parti DAP untuk digunakan bagi menjatuhkan Kerajaan Pas Kelantan dengan gambar Husam bersama tulisan tersebut.

Zawawi pada masa berkenaan merupakan Ahli Lajnah Politik dan Pilihan Raya Pas Kelantan dan juga Ketua Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Dato` Wan Ahmad Farid Bin Wan Salleh ketika membacakan keputusan kes menyatakan bahawa plaintif (Husam) telah berjaya membuktikan kesnya dan memenuhi kriteria kes fitnah.

Sehubungan itu beliau memerintahkan agar Zawawi membayar gantirugi dengan jumlah yang akan ditaksirkan oleh mahkamah, menarik balik artikel berkenaan, menyiarkan permohonan maaf kepada Husam di akhbar nasional selama satu hari dan membayar kos perbicaraan sebanyak RM50,000. Mahkamah juga mengeluarkan perintah tegahan (injunksi) terhadap Zawawi daripada mengeluarkan apa-apa pernyataan fitnah terhadap Husam lagi.

Kes ini yang difailkan ketika kehangatan sebelum pilihanraya umum yang lalu di mana ketika itu antara serangan utama Pas kepada Amanah ialah Amanah ditaja oleh tokey judi dari DAP.

Husam diwakili Tetuan Hisham Fauzi & Associates dengan kaunsel Alawi Abdul Rashid, Norazham Yahaya dan Rusilawati Zakaria manakala Zawawi diwakili oleh Tetuan Rithauddeen & Aziz dengan kaunsel Rizwani Adam dan Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi .