Apakah maksud Rahmat Sekelian Alam? Rahmat Sekelian Alam membawa maksud kasih sayang.
Allah SWT berfirman:
وَا خْفِضْ لَهُمَا جَنَا حَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيٰنِيْ صَغِيْرًا ۗ
“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Al-Isra’ 17: Ayat 24)
Maksud Rahmat itu adalah kasih sayang dan belas kasihan terhadap kedua ibu bapa yang mendidik anak-anak sejak kecil. Maksud Rahmat ini sekali lagi dipetik dalam Surah Ar-Rum 30:21,
Allah SWT berfirman:
وَمِنْ اٰيٰتِهٖۤ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَا جًا لِّتَسْكُنُوْۤا اِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَّوَدَّةً وَّرَحْمَةً ۗ اِنَّ فِيْ ذٰلِكَ لَاٰ يٰتٍ لِّقَوْمٍ يَّتَفَكَّرُوْنَ
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar-Rum 30: Ayat 21)
Dalam kehidupan di buana ini tanpa kasih sayang bermakna haus dan tanduslah sebuah peradaban. Agama Islam menekankan konsep rahmat dan kasih sayang tehadap sesama manusia, iaitu kasih sayang terhadap ibu bapa, pasangan suami isteri, anak-anak dan keluarga bahkan haiwan dan tumbuhan juga. Dalam pada itu, nilai kasih sayang juga perlu disulami dalam hubungan diantara seorang Muslim dan Non-Muslim.
Terdapat banyak pembuktian melalui kisah Nabi Muhammad SAW tentang bagaimana Baginda menyantuni orang bukan Islam dengan kasih sayang.
Hal ini dapat ditelusuri melalui kisah Nabi Muhammad SAW dengan pengemis tua buta yang berbangsa Yahudi. Dalam kisah ini, memaparkan bagaimana Nabi Muhammad SAW menyuap makanan kepada pengemis buta itu walaupun pengemis tua buta itu sering menghina Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, perlakuan baik antara bukan Islam dan Islam dituntut.
Selain itu, kisah hubungan kasih sayang Nabi Muhammad SAW terhadap bapa saudara Banginda iaitu Abu Talib. Abu Talib seringkali menyokong perjuangan dakwah Baginda dan melindungi Baginda bila mana Baginda mendapat tentangan hebat kaum Musyrikin Makkah. Walaupun begitu, bapa saudaranya tidak memeluk Islam sehingga ke akhir hayatnya. Tetapi, Nabi Muhammad SAW melayani bapa saudaranya dengan kasih sayang walaupun beliau tidak memeluk Islam. Kisah hubungan baik antara bapa saudara yang bukan Islam dan anak saudara Muslim menjadi titik tolak dalam mengekalkan hubungan silaturahim antara keluarga walaupun berlainan agama.
Sejak dahulu lagi, Nabi Muhammad SAW mengakui keadilan pemerintahan seorang Raja bukan Islam iaitu Raja Najashi. Hadis Riwayat Abu Daud menerangkan bahawa Barangsiapa menzalimi orang bukan Islam; atau mengambil hak mereka bukan cara yang sebenar; atau membebankan kepada mereka dengan luar kadar kemampuan mereka, maka aku (Nabi) akan menjadi penghujah untuk orang bukan Islam itu di akhirat kelak. Hadis ini menukilkan peri pentingnya maslahat bukan Islam dipelihara.
Konsep Rahmatan lil Alamin berdasarkan Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta dapat dipenuhi apabila konsep kasih sayang itu wujud dalam diri manusia dan dipraktikkan dengan nilai-nilai yang murni.
Gagasan ‘Rahmatan lil alamin’ yang diperkenalkan oleh Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri, YBM Dato’ Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa adalah sesuatu inisiatif yang proaktif dalam mempromosikan nilai dan budaya Islam yang sebenar melalui pendekatan ‘Rahmatan lil alamin’ dan maqasid syariah kepada yang beragama Islam dan bukan beragama Islam.
Gagasan ini perlu dijulang tinggi kerana ini adalah konsep asas bagi agama Islam yakni kasih sayang antara manusia dan juga alam disekeliling.
Nurfa Failasuf