Hubungan PBS-STAR tegang, kerajaan baru bakal terbentuk di Sabah?

Hubungan PBS-STAR tegang, kerajaan baru bakal terbentuk di Sabah?

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), BN dan PBS – yang menerajui kerajaan negeri Sabah menafikan spekulasi pertukaran kerajaan di negeri itu.

Perkembangan ini hadir di tengah ketegangan antara PBS dan STAR, parti komponen dalam PN.

Hubungan PBS-STAR dilihat mirip dengan Umno-Bersatu di mana STAR mendapat kelebihan kerana berada dalam PN, yang merupakan kuasa dominan dalam kerajaan Sabah.

PN terdiri daripada Bersatu, PAS, STAR, Gerakan dan SAPP.

PBS dan STAR mempunyai komuniti Kadazan Dusun dan Murut (KDM) sebagai asas sokongan mereka.

Spekulasi PBS menarik diri dari gabungan itu hadir selepas

Presiden Warisan Shafie Apdal pada Selasa lalu mengatakan bahawa pihaknya ingin bekerjasama dengan PBS sekiranya diberi peluang.

Sehari kemudian, Presiden PBS Maximus Ongkili menyatakan bahawa pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berpusat di Sabah.

“Oleh itu, kami memperhatikan isyarat politik oleh Presiden Warisan Shafie Apdal untuk bekerjasama demi kebaikan semua rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Ongkili juga menekankan bahawa PBS mempunyai hubungan kerja yang baik dengan Bersatu dan berharap sekutunya itu akan melihat sikap Warisan secara positif.

Namun, ia tidak menghentikan spekulasi kemungkinan adanya hubungan antara PBS dan Warisan serta sekutunya.

Ini telah memaksa beberapa pemimpin PBS menafikan spekulasi itu secara terbuka.

Setiausaha Agung PBS Joniston Bangkuai mengatakan dakwaan bahawa Shafie akan kembali sebagai ketua menteri Sabah dengan sokongan PBS hanyalah “cakap kosong”.

“Tidak ada yang boleh dinafikan kerana memang tidak ada kebenaran tentang dakwaan itu,” katanya seperti dipetik The Star.

GRS menguasai 48 daripada 78 kerusi di DUN Sabah, termasuk enam Adun yang dilantik. Parti itu juga mendapat sokongan dua Adun bebas.

Sementara itu, GRS masih dapat mengekalkan majoriti tipis jika tujuh Adun PBS menarik diri untuk bergabung dengan 30 Adun pembangkang dari Warisan, DAP, PKR dan Upko.

Namun, spekulasi menunjukkan bahawa Umno, yang memiliki 16 kerusi, juga mungkin menarik diri.

Umno, yang mendambakan jawatan ketua menteri Sabah, sebelum ini dilihat terpaksa memberi laluan kepada Hajiji Noor dari Bersatu walaupun memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya negeri September lalu.

Bagaimanapun, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, yang diberi jawatan timbalan ketua menteri, mempunyai hubungan baik dengan Bersatu.

Dia secara terbuka telah membantah perseteruan antara Bersatu dan Umno di peringkat persekutuan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/574865