Hotel Royal Chulan milik Boustead dijual kepada syarikat tersenarai Singapura dengan harga lebih murah

Hotel Royale Chulan Bukit Bintang di Kuala Lumpur milik Boustead sudah dijual kepada sebuah syarikat tersenarai Singapura pada harga lebih rendah RM177.3 juta.

Dalam pemfailan dengan Bursa Singapura, Hotel Royal berkata, harga pembelian itu disemak semula dan dikurangkan 10% daripada harga asal RM197 juta.

Pengerusi Hotel Royal, Pang Eng Fong berkata, persetujuan mengenai harga baru yang disemak semula itu dicapai atas dasar suka sama suka antara pembeli dan penjual, selepas rundingan panjang serta “mengambil kira keadaan pasaran dan nilai pasaran hotel itu”.

Berita penjualan itu mencetuskan kontroversi politik ketika diumumkan pada 2019.

Boustead berkata, penjualan itu sebahagian daripada rancangan keseluruhan Kumpulan Boustead untuk mencapai keuntungan dengan menjual aset bukan strategik.

Syarikat itu berkata, Royale Chulan Kuala Lumpur, yang terletak di zon hiburan Bukit Bintang, menghadapi banyak persaingan dalam kawasan segitiga emas Kuala Lumpur serta platform dalam talian seperti Airbnb

“Ini menyebabkan kadar penginapan yang relatif rendah, iaitu 52% pada 2018 berbanding purata kadar penginapan hotel di Lembah Klang sekitar 74%,” kata Boustead.

Syarikat itu berkata, pengubahsuaian juga diperlukan untuk hartanah yang semakin uzur itu kekal menarik serta berdaya saing. –FMT

COMMENTS

Wordpress (0)