1.Isu hotel patuh syariah yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu membawa respon dari pelbagai masyarakat terutamanya dari FB profil yang tertera mereka adalah non-Muslim.
.
2.Kebanyakan komen dari mereka ini berkisar negatif dan menyindir akan usaha yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Tidak juga kami menolak ada yang dari cybertroopers yang menyamar demi membakar-bangkit isu-isu agama dan rasisme.
.
3.Pertamanya ialah kita tidak bersetuju akan komen negatif yang dibawa oleh mereka. Usaha yang baik patut disambut dengan baik tanpa sebarang masalah. Segala bentuk sindiran tajam yang membawa kepada unsur hina agama tidak patut dibuat.
.
4. Konsep patuh syariah yang dibawa meliputi aspek perkhidmatan, layanan, penampilan dan sebagainya seharusnya disokong terutamanya daripada golongan Muslim. Sekaligus membawa imej yang baik untuk agama sekiranya dijalankan dengan baik dan lancar.
.
5.Namun, adakah non-Muslim yang memberi komen negatif tentang perkara ini adalah salah 100%? Bagi kami ianya tidak. Ini berikutan kita walaupun berada dalam kalangan majoriti Muslim, kita masih lemah dalam memahamkan konsep pengurusan, pentadbiran, penampilan dan hal yang lain kepada mereka yang bukan Islam
.
6.Sedangkan Tabung Haji yang dibangunkan demi memberi manfaat kepada Muslim di bawah seliaan orang Islam pun terlalu besar ketirisan yang berlaku. Yang mengetuai rompakan wang berbilion ringgit juga dari mereka yang beragama Islam. Negara-negara Islam dari luar yang mengamalkan konsep hukuman hudud juga gagal memberikan keadilan kepada pesalah.
.
7.Sehingga keadilan yang kita lihat di negara-negara ini hanya diberi kepada pencuri tabung masjid yang dipotong tangannya, tapi pencuri wang negara bebas tanpa sebarang tindakan.
.
8.Kita memahami akan konsep perubahan yang ingin dibuat. Memetik kata-kata Dr.Rozaimi Ramle, sesuatu perubahan itu jika ingin dibuat memang sukar. Oleh itu, jika ada yang melaksanakan perubahan kearah yang lebih baik, wajiblah kita untuk memberikan penghargaan dan sokongan kepada mereka.
.
9.Selain itu, kepada pemegang profil FB non Muslim yang menggunakan kata-kata yang tidak baik dan berunsur rasisme, hotel patuh syariah tidak akan mengganggu hak anda. Apalah sangat jika tak dibenarkan arak, serta tidak dibenarkan pasangan belum berkahwin untuk tidur di dalam bilik yang sama. Bukankah semua agama tidak bersetuju dan melarangnya? Secara tak langsung ia menjaga maruah dan nilai masyarakat kita. Lagipun bukan semua hotel, hanya 1 hotel sahaja di Terengganu itu iaitu Paya Bunga Hotel. Ada ribuan hotel lain yang boleh menjadi pilihan kalian
.
10. Samalah juga akan isu larangan merokok di kedai-kedai makan dan juga tempat terbuka. Ramai yang menyambut malah bukan sedikit juga yang mahu mengangkat hak perokok. Sehinggakan yang tidak bersetuju juga mahu membawa hal ini dan juga Menteri Kesihatan Dr.Dzulkefly Ahmad ke mahkamah.Hal yang menarik dalam isu menyaman KKM ini, penggeraknya adalah majoriti berbangsa Melayu, beragama Islam. Maka, apakah tidak patuh syariah larangan seperti yang dikemukakan hingga ditentang sendiri oleh kalangan Muslim?
.
11. Inilah perubahan. Sukar untuk dibuat, tapi perlu dilaksanakan. Sebagaimana kata-kata Umar Abdul Aziz semasa pemerintahan beliau,
“Aku berada di zaman orang menganggap yang salah itu benar, dan yang benar itu ialah salah. Dan juga orang tua yang telah tua di dalam kesalahannya, dan yang muda membesar di dalam kesalahan itu.”
.
12.Ini satu peluang yang bagus untuk mempamerkan syariah itu rahmah kepada semua. Dan inilah yang ingin dibawa oleh kerajaan persekutuan. Sama ada hotel patuh syariah atau larangan merokok, bukankah ianya memberi keselesaan kepada semua masyarakat tanpa sebarang masalah?
.
13.Untuk mereka yang membuat perubahan yang lebih baik demi negara, kami doakan semoga diberkati dan dirahmati Allah. Manakala yang tidak bersetuju, moga mereka diberikan kefahaman yang baik dari Allah diatas tujuan perubahan itu dibuat. Kepada yang non-Muslim, semoga mereka juga dapat menikmati hotel patuh syariah yang dilaksanakan, dan kepada sahabat yang merokok, diharapkan perubahan ini juga memberi kebaikan buat kalian.
.
NAZRI ZAMANI
Pengarah Komunikasi
Pemuda AMANAH Negeri Melaka