Hotel juga boleh ditukar buat sementara menjadi hospital sementara-Bekas timbalan menteri pelancongan

Hotel juga boleh ditukar buat sementara menjadi hospital sementara-Bekas timbalan menteri pelancongan

Bekas timbalan menteri pelancongan Muhammad Bakhtiar Wan Chik mencadangkan kerajaan supaya memperkenalkan pekerjaan alternatif kepada 3.7 juta pekerja sektor pelancongan yang terjejas akibat Covid-19.

Beliau juga turut mencadangkan supaya hotel-hotel turut dijadikan hospital sementara atau tempat rehat kepada petugas barisan hadapan dalam usaha mengekang penularan wabak itu

Jelasnya, sektor pelancongan menyumbang sekitar 15.3 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan sektor ini merupakan antara yang paling teruk menerima impak Covid-19.

“Kalau tidak ditangani dengan betul dan terancang, ia boleh membawa kepada lumpuhnya ekonomi negara dan memberi kesan yang parah kepada 3.7 juta pekerja dalam sektor ini.

Namun apakah kita hanya membiarkan nasib mereka tanpa memikir langkah kreatif yang perlu diambil?

“Umpamanya menyediakan pekerjaan alternatif terutama bidang yang mendesak dalam menangani gejala Covid-19 seperti membuat topeng muka, membuat sanitizer, bekerja secara sementara di hospital-hospital yang tidak cukup kakitangan, perkhidmatan pembersihan terutama sanitizing.

“Hotel juga boleh ditukar buat sementara menjadi hospital sementara atau tempat berehat untuk ‘frontliners’ yang dengan itu kita boleh menyelamatkan beberapa hotel dan pekerjanya dari hilang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 13 Mac lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menganggarkan kerugian keseluruhan dalam sektor pelancongan mulai Januari hingga Februari 2020 adalah sebanyak RM3.37 bilion akibat Covid-19.

Kerajaan juga menganggarkan KDNK negara menurun sebanyak 0.8 peratus hingga 1.2 peratus, iaitu penurunan sebanyak RM10.8 bilion hingga RM17.3 bilion.

Ia susulan pakej pelancongan dibatalkan dan ini menjejaskan mereka yang bekerja dengan syarikat-syarikat penerbangan dan perhotelan.

Oleh itu kata Muhyiddin, Menteri Pelancongan Nancy Shukri akan menggubal pelan memacu semula industri pelancong.

Langkah itu berikutan kesan penularan Covid-19 terhadap beberapa industri yang menjana pendapatan negara, khususnya pelancongan yang setakat ini dijangka mengakibatkan kerugian tahunan menjangkau RM51 bilion.

Dalam pada itu, Muhammad yang juga anggota Parlimen Balik Pulau mencadangkan Perkeso yang mempunyai tabungan yang agak besar agar menggunakan peruntukan Tabung Bencana bagi membantu ahli-ahli yang hilang pekerjaan dan pendapatan.

Tambahnya lagi, pembatalan tahun melawat Malaysia 2020, Tourism Malaysia dijangka dapat menjimatkan lebih dari RM100 juta.

“Tourism Malaysia dijangka dapat menjimatkan lebih dari RM100 juta termasuklah dari projek atau kempen Global Advertising jika ianya dinilai semula atau ditarik balik.

“Penjimatan ini boleh digunakan untuk membantu pemain industri dalam memastikan sektor ini terus berada dalam keadaan mampan dan berdaya saing sebaik sahaja negara pulih dari wabak Covid-19 ini.

Sebagai langkah jangka panjang katanya, negara harus bersedia dengan sebarang kemungkinan seperti ibadah haji yang mungkin dibatalkan untuk tahun ini.

Jika ia berlaku, mereka bergantung kepada pengurusan jemaah haji dan umrah tentu menerima tempias yang kuat dan apakah menteri bagi sektor ini.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/516695?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR1IRCRGhOgR-S9XCjzIfC0Gh3dHbuDTtAl52DU4l10NKaA8vlFAwAeW5ig