Hotel bajet runtuh, 17 dilaporkan terkorban

Hotel bajet runtuh, 17 dilaporkan terkorban

Hotel bajet runtuh, 17 dilaporkan maut. Sembilan lagi individu disahkan terkorban dalam insiden hotel bajet runtuh di timur China membawa angka korban setakat ini berjumlah 17 orang, menurut kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu juga memaklumkan, susulan itu usaha mencari dan menyelamatkan mangsa turut dihentikan.

Enam yang lain berjaya diselamatkan daripada sisa timbunan konkrit dan logam hotel Siji Kaiyuan yang runtuh dua hari lalu di bandar yang menyajikan pemandangan menarik, Suzhou.

Operasi mencari mangsa dalam runtuhan Hotel Siji Kaiyuan di Suzhou. - Foto AFP

Semua mangsa yang diselamatkan dilaporkan berada dalam keadaan stabil, kata televisyen yang dikendalikan oleh kerajaan negeri.

Berdasarkan maklumat tertera dalam laman pelancongan Ctrip, hotel terbabit dibuka pada 2018 dan mempunyai sebanyak 54 bilik tamu.

Suzhou yang memiliki lebih 12 juta penduduk, terletak kira-kira 100 kilometer dari Shanghai, adalah destinasi pelancongan terkenal dengan terusan dan taman berabad-abad usianya.

Pasukan penyelamat mencari mangsa. - Foto AFP

Runtuhan atau kemalangan bangunan tidak asing di China dengan standard pembinaan yang lemah atau rasuah menjadi antara faktor yang sering dipersalahkan.

Pada Mac lalu, hotel kuarantin di selatan China, bandar Quanzhou runtuh dan meragut 29 nyawa dengan pihak berkuasa mendapati terdapat tiga tingkat ditambah secara tidak sah pada struktur asal bangunan empat tingkat itu.

Sementara itu, pada Mei lalu pihak berkuasa mengosongkan satu daripada antara bangunan pencakar langit tertinggi di China, Plaza SEG di selatan bandar Shenzhen selepas ia bergegar berkali-kali selama beberapa hari.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/07/839294/hotel-bajet-runtuh-17-disahkan-maut

BACA JUGA : Lebih banyak hotel perlu jadi pusat kuarantin risiko rendah, kata MP