Hina Islam, Lelaki Melayu Dihukum Penjara 3 Bulan

Hina Islam, Lelaki Melayu Dihukum Penjara 3 Bulan

Padah menghina agama Islam, Allah dan Nabi Muhammad SAW, seorang penganggur dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini.

Majistret Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Muhammad Shaffik Amat Zairudin, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghantar komunikasi yang mengandungi kata- kata kesat dan penghinaan terhadap Allah, Islam dan juga Nabi Muhammad SAW kepada kenalan wanitanya yang berusia 24 tahun menggunakan telefon bimbit.

Tindakan itu dilakukan dengan niat untuk melukakan perasaan agama yang dianuti oleh wanita terbabit dan juga abangnya yang berusia 28 tahun.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Taman Bertam Jaya, Cheng, di sini, pada jam kira- kira 11 pagi, pada 15 Februari 2020.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, abang kepada wanita berkenaan telah memeriksa perbualan di aplikasi WhatsApp antara adiknya dan tertuduh yang kemudiannya mendapati lelaki terbabit menghantar pelbagai mesej penghinaan terhadap agama Islam selain menghantar gambar kaki sedang memijak surah Yassin.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dengan alasan tindakan itu dibuat kerana tertekan selain dia sudah bertaubat.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan kepada mahkamah agar hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan dengan alasan perbuatan dibuat tertuduh adalah serius dan tidak menjaga sensitiviti agama.

“Tertekan bukan alasan untuk tertuduh berkelakuan sedemikian ,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan dari tarikh dia dijatuhi hukuman (hari ini).