Himpit motosikal anggota Polis hingga maut, lelaki ini direman 7 hari

Himpit motosikal anggota Polis hingga maut, lelaki ini direman 7 hari

Polis menahan reman seorang lelaki yang didakwa menyebabkan kematian seorang anggota polis dalam kejadian kemalangan di Jalan Utama, di sini, pada Sabtu pagi.

Perintah tahanan reman selama tujuh hari dikeluarkan Pegawai Pendaftar Mahkamah Majistret George Town Khalijah Mohd Khalid pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan suspek berusia 35 tahun itu direman hingga 24 April ini bagi membantu siasatan.

“Suspek direman bermula hari ini hingga 24 April,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Dalam kejadian awal pagi itu, Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 23, yang bertugas di Balai Polis Dato Keramat maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Utama menyebabkan kepala mangsa terhentak pada pembahagi jalan.

Kejadian berlaku sewaktu Muhammad Iqbal bersama dua lagi anggota sedang menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Suspek bertindak melarikan diri dengan menunggang secara berbahaya dan menghimpit mangsa sehingga berlaku kemalangan.

Muhammad Iqbal meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala suspek berjaya ditahan sejurus kemalangan berlaku.

Siasatan lanjut polis mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan lima rekod jenayah.

Soffian berkata kes di siasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/suspek-himpit-motosikal-anggota-polis-hingga-sebabkan-kematian-direman-7-hari-293879