Hidupkan PLKN, jangan bazir duit rakyat – Syed Saddiq

Hidupkan PLKN, jangan bazir duit rakyat – Syed Saddiq

Kerajaan tidak harus membazir jutaan ringgit wang rakyat dengan melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), kata bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Ini bukan masanya untuk retorik projek mega dan bazirkan jutaan ringgit untuk sebuah program 3 bulan. Ini masa untuk kerajaan sedar bahawa rakyat sedang susah, lapar dan sakit, “ kata beliau.

Syed Saddiq mengulas kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, bahawa pihaknya bercadang melaksanakan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Cadangan itu akan dibentangkan untuk kelulusan Kabinet, kata ismail yang mendakwa pelaksanaan PLKN sebelum ini memberi kesan baik kepada pembentukan patriotisme remaja.

Bagaimanapun cadangan itu ditolak oleh Syed Saddiq. Beliau berkata kerajaan harus memberikan keutamaan kepada memerangi Covid-19 dan membela golongan yang terkesan akibat pandemik itu.

“Kalau jawapan kerajaan kepada krisis ekonomi, masalah pengangguran, akses pendidikan yang terhad waktu kuarantin dan syarikat kecil dan sederhana yang gulung tikar kerana COVID-19 adalah dengan mencadangkan PLKN diwujudkan semula, saya risau,” kata beliau.

Syed Saddiq berkata PLKN adalah antara program kerajaan paling mahal yang pernah dilaksanakan.

“Apabila saya kata mahal, kos belanja untuk PLKN dari tahun 2004 telah cecah RM8.43 bilion. Hampir separuh dari kos PLKN itu hanya untuk bayar sewa kem, aktiviti bukan latihan dan kurikulum pelatih,” tambah beliau.

Syed Saddiq berkata cadangan melaksanakan semula PLKN menunjukkan kerajaan tidak peka terhadap masalah rakyat.

“Jangan gunakan alasan semangat patriotisme dan cintakan negara di dalam PLKN untuk mengalihkan pandangan masyarakat kepada masalah pengangguran, orang muda dibuang kerja dan lebih 266 orang bunuh diri kerana tekanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata beliau.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/24/jangan-bazir-duit-rakyat-nak-hidupkan-plkn-kata-syed-saddiq/