Hentikan keganasan terhadap wanita – AWAN Selangor

Hentikan keganasan terhadap wanita – AWAN Selangor

AWAN Selangor menyambut baik dan menyokong kenyataan YB Dr. Siti Mariah binti Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita & Keluarga Negeri Selangor yang mengambil serius tentang kes keganasan rumah tangga yang berlaku di seluruh Negeri Selangor dan seterusnya melancarkan Minggu Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita 2020 melalui Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Pelancaran kempen ini bertepatan dengan peningkatan kes keganasan rumah tangga terhadap wanita yang berlaku di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari bulan Mac 2020. Masyarakat kita perlu sedar bahawa keganasan terhadap wanita merupakan satu kesalahan jenayah. Pelakuan keganasan rumahtangga adalah satu jenayah senyap dan ia semakin serius menular di dalam masyarakat kita. Sekiranya jenayah ini lambat di ambil tindakan atau tidak dibendung dengan lebih awal sehingga mangsa sudah berada di tahap yang kritikal, maka boleh menyebabkan kecederaan fizikal bahkan kematian akibat daripada keganasan yang dilakukan.

Adakah kita mengambil sikap hanya mahu melihat sahaja? Mengapakah masalah ini masih berlaku terutamanya di dalam masyarakat kita yang sedang membangun dan ingin maju ke hadapan? Isu keganasan rumahtangga terhadap wanita bukan semata-mata isu domestik tetapi ia bersifat global dan telah diperjuangkan oleh pelbagai pihak di seluruh dunia. Oleh yang demikian, AWAN Negeri Selangor dengan padunya menyahut kempen ini agar kesedaran masyarakat akan dipertingkatkan dalam usaha berterusan membendung dan menangani pemasalahan ini secara bersama.

Mengikut kajian Lenore Walker (1979), beliau telah mencadangkan teori pengurangan tekanan kepada tiga fasa ketara yang dikaitkan dengan keganasan berulang. Lenore dengan jelasnya menyatakan bahawa keganasan rumahtangga bukan dilakukan secara rambang tetapi melalui kitaran yang dijangka. Dengan memahami kitaran ini, persoalan kenapa mangsa masih bertahan dengan pasangan terjawab dan usaha-usaha membendung akan dapat dirangka.

Kerajaan negeri Selangor melalui EXCO Pembangunan Wanita & Keluarga, YB Dr. Siti Mariah binti Mahmud baru-baru ini telah mengumumkan bantuan kewangan dan tempat perlindungan kecemasan kepada wanita-wanita yang terlibat. Bantuan dan usaha seperti ini oleh Kerajaan Negeri Selangor wajar dipuji serta seharusnya menjadi contoh kepada negeri-negeri yang lain dalam memberi perlindungan terhadap wanita-wanita yang didera.

AWAN Selangor berharap ini adalah satu langkah permulaan ke arah usaha yang lebih tersusun untuk mewujudkan lebih banyak lagi Rumah Pelindungan Sementara. Buat masa kini, tempat perlindungan kecemasan yang bersifat sementara sebegini amat kurang bilangannya di Negeri Selangor bagi menampung keperluan akibat dari kes-kes keganasan rumahtangga yang semakin meningkat terutamanya semasa tempoh hampir sepuluh (10) bulan PKP. Mangsa penderaan serta anak-anak ini perlu dikeluarkan dari kitaran keganasan dengan memindahkan mereka ke Rumah Pelindungan. Dengan itu, penyediaan Rumah Perlindungan yang mencukupi serta selesa perlu diwujudkan bagi menampung kes-kes penderaan/keganasan rumahtangga yang semakin meningkat.

AWAN Selangor mencadangkan agar Rumah Perlindungan dapat diwujudkan di setiap daerah di Negeri Selangor supaya proses rawatan dan pemulihan terhadap mangsa dan ahli keluarga yang terlibat dapat dilaksanakan dengan berkesan. Di antara daerah yang mencatat laporan jumlah kes penderaan/keganasan rumahtangga yang paling tinggi adalah Daerah Hulu Langat.

Komuniti setempat terutamanya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) serta Ketua Komuniti perlu dilibatkan dalam kempen ini agar mereka turut sama berperanan dalam membantu mangsa penderaan/keganasan rumahtangga di tempat masing-masing. Usaha pemulihan yang lebih bersasar dan kolektif dengan sokongan keluarga serta komuniti setempat akan berupaya meningkatkan motivasi dan keyakinan mangsa.

AWAN Selangor juga berpandangan agar pelaku-pelaku keganasan rumahtangga perlu ditangani mengikut proses undang-undang di bawah Akta Keganasan Rumahtangga dan mesti menjalani siri kaunseling yang sewajarnya.

AWAN Selangor menyokong kempen ini yang bertemakan HENTIKAN KEGANASAN, HORMAT WANITA dan akan bersama-sama memakai pelitup muka berwarna oren sempena Sambutan 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender yang akan disambut pada 25 November hingga 10 Disember ini.

RAWIYIAH BINTI ZAKARIA
Ketua
Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN)
Negeri Selangor

 

COMMENTS