HBR: Rakyat cadangkan negeri lain contohi Melaka

 Penganjuran Hari Bertemu Rakyat (HBR) berterusan menerima sambutan positif dari rakyat Melaka.

Program itu yang dilaksanakan setiap Khamis (dahulu Jumaat) sentiasa dikunjungi masyarakat setempat dari pelbagai latar belakang, untuk mengadukan permasalahan dialami kepada Ketua Menteri, Adly Zahari secara terus.

Dan menerusinya, isu yang dihadapi lebih pantas diatasi.

Justeru, rakyat berharap ia terus diperkasakan, dalam masa sama, negeri lain di seluruh negara disarankan mencontohi langkah Melaka yang dilihat berkesan menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

Seorang penduduk dari Pahang, Shahrul Suhaimi, 44, yang tiba di bangunan itu seawal jam tujuh pagi semata-mata ingin bersemuka bersama Adly, turut mengakui keberkesanan langkah itu dan tidak pernah menyaksikan pendekatan sama dibuat di negeri-negeri lain.

“Sebagai warga Pahang, saya rasa perkara ini begitu susah ditawarkan di negeri lain dan usaha ini seharusnya dicontohi dan menjadi garis panduan dalam dasar kerajaan yang sudah tentunya akan menambah kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.

“Sebagai penambahbaikan, saya berpendapat ia wajar diadakan di setiap negeri di Malaysia dengan mengamalkan konsep ‘turun padang’ ini.

“Bertemu pemimpin negeri adalah salah satu keistimewaan,” katanya,.

Sementara itu, seorang penduduk yang berasal dari Krubong, Nor Suraya Khalil, 33, memuji tindakan Melaka menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih pantas dan efisien.

Dia yang berdepan dengan masalah kewangan untuk menyara kehidupan dan menyekolahkan tiga anaknya bersyukur selepas permohonan bantuan mengenai perkara itu yang kerap ditolak, telah diselesaikan kurang dari satu jam hasil pertemuan bersama Adly.

“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur kerana apabila saya datang di sini, segala masalah saya dapat diselesaikan tidak sampai dalam sejam pun.

“Semuanya berjalan dengan lancar dan saya menerima keputusan dari kerajaan negeri yang sebelum ini permohonan bantuan bulanan saya ditolak akhirnya diluluskan.

“Apa yang cukup memuaskan hati saya apabila bertemu Adly, beliau terus memanggil kakitangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi berunding bersama kami dan menilai permohonan saya terhadap bantuan berkenaan,” katanya.

Suraya yang juga ibu tunggal tidak putus mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Melaka dan berharap program tahun itu terus dilaksanakan.

Pada masa sama, seorang penduduk Sungai Tuang, Lee Kin Mio, 62, berkata, penganjuran itu semalam, memudahkannya sebagai warga emas tanpa perlu menghadiri ke Seri Bendahara bagi meluahkan nasibnya.

Dia yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan itu berterima kasih kepada Adly kerana meluluskan permohonannya mendapatkan bantuan rumah terhadap seorang penduduk yang hidup dalam kedaan daif di Masjid Tanah.

“Hari ini saya jumpa Adly dan beliau meluluskan permohonan itu.

“Ia merupakan pendekatan terbaik dalam melaksanakan program bermanfaat seperti ini, sebagai rakyat kita perlu mengambil peluang ini kerana ia merupakan peluang emas kepada kita bagi mengatasi setiap masalah yang melanda,” katanya.