Haziq Abdullah Abdul Aziz digantung tugas serta-merta

Haziq Abdullah Abdul Aziz digantung tugas serta-merta sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama kerana  didakwa memburukkan imej dan reputasi kementerian.

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Haziq, yang memulakan tugasnya sejak Januari lepas sebagai pegawai kontrak, didapati tidak hadir tanpa sebab ke pejabat sejak Selasa lepas.

Berikutan itu, Haziq diarah untuk menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari dari tarikh surat itu dihantar iaitu semalam.

“Kementerian tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak perkhidmatan (Haziq) serta-merta jika tiada sebarang maklum balas diterima dalam tempoh yang diberikan.

“Kalau tidak dijawab, kita akan ikut proses pentadbiran untuk menamatkan perkhidmatan beliau kerana dalam kontrak beliau terdapat akujanji untuk tidak melakukan salah laku yang boleh menjejaskan imej dan reputasi kerajaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Haziq dalam satu video pengakuan mendakwa dirinya merupakan individu dalam video yang dikaitkan dengan menteri.

Berikutan penularan video pengakuan itu, Shamsul Iskandar berkata kementerian mengambil pendekatan untuk mendengar penjelasan sendiri daripada Haziq.

Menurutnya, pelantikan Haziq sebagai kakitangan kementerian adalah berdasarkan penilaian semasa soal jawab sesi temuduga, kelayakan akademi serta pengalaman kerja yang dilihat bersesuaian dengan skop tugasan yang ditawarkan.

Shamsul Iskandar turut ditanya mengenai latar belakang Haziq yang pernah berkhidmat di bawah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri sebagai pelatih menteri sama ada diambil kira sebelum dilantik untuk berkhidmat dengan beliau.

“Haziq tidak pernah menganggotai parti yang dianggotai Nancy (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) dan beliau terlibat dengan program Felo Perdana di bawah menteri tersebut yang memberi ruang untuk orang muda mencungkil bakat. Bagi saya itu tiada masalah,” katanya.

Katanya beliau mengenali Haziq ketika pemuda itu bergiat aktif sebagai aktivis mahasiswa sejak 2011 hingga 2012 di bawah PKR.

“Sepanjang enam bulan berkhidmat (di kementerian), beliau menunjukkan sikap yang profesional dalam menjalankan tugas dan ini juga diakui oleh Ketua Setiausaha Kementerian,” katanya.

Susulan penularan video, Shamsul Iskandar berkata beliau ada menghubungi Haziq melalui aplikasi  WhatsApp meminta beliau datang ke pejabat untuk memberi penjelasan namun tiada maklum balas.

Ditanya adakah kementerian ada menghubungi keluarga Haziq, beliau berkata  pihaknya ada berbuat demikian namun keluarganya memaklumkan tidak berkomunikasi dengannya malah tidak mengetahui di mana Haziq berada.

“Keluarganya turut sedih dengan apa yang berlaku dan sebagai majikan saya meminta pegawai saya untuk menenangkan keadaan.. keluarga diutamakan,” katanya.

Ditanya adakah Haziq berada di Sandakan pada 11 Mei, Shamsul Iskandar berkata sekiranya benar Haziq berada di sana, ia adalah urusan peribadi dan tidak ada kena mengena dengan tugasnya sebagai pegawai kementerian,