Hati-hati beri kelonggaran individu lengkap 2 dos, kata KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan beri kelonggaran pergerakan kepada individu sudah menerima vaksin lengkap tidak boleh dibuat secara terburu-buru atau terlalu awal ketika penularan Covid-19 dalam negara masih tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) KKM Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata, pengalaman beberapa negara lain yang melonggarkan sekatan sudah menyaksikan peningkatan semula kes Covid-19.

“Kita kena ambil iktibar negara lain seperti Israel dan Kesatuan Eropah (EU) yang walaupun sudah mencatatkan liputan vaksin secara meluas namun kini meneliti kembali keputusan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kerana dikatakan terlampau awal.

beri

“Kerajaan dan KKM kini mengambil pendekatan berhati-hati, dengan membincangkannya di peringkat tertinggi mengenai apa bentuk kelebihan yang boleh diberikan kepada individu sudah divaksin.

“Tetapi, kelonggaran seperti ini perlu ada prasyarat, antaranya liputan vaksin perlu mencapai sekurang-kurangnya 40 peratus,” katanya dalam sidang media khas KKM di Putrajaya, hari ini.

Dr Hishamshah berkata, pematuhan SOP perlu terus diamalkan walaupun liputan vaksin mencatatkan prestasi yang memberangsangkan, sejak kebelakangan ini.

“Ini kerana varian membimbangkan (VOC) sekarang seperti delta lebih mudah menular, justeru kita masih kena jaga SOP, dengan memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal, tidak berkumpul dalam jumlah ramai,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam dilaporkan berkata, kelonggaran pergerakan kepada individu yang sudah mendapat suntikan vaksin Covid-19 secara lengkap akan diumumkan, sama ada hari ini atau esok.

Kelonggaran itu meliputi pergerakan rentas negeri atau daerah, ziarah antara keluarga dan pasangan jarak jauh, selain membabitkan sektor sosial makan di premis perniagaan.

Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan kegusaran dalam kalangan pakar kesihatan awam dan epidemiologi.

Pakar berpandangan peningkatan kadar jangkitan semasa mencecah 20,000 kes bakal mengundang risiko gelombang penularan baharu sekiranya kelonggaran sedemikian diberikan.

Berdasarkan perangkaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) setakat semalam, sebanyak 34.2 peratus daripada individu dewasa di seluruh negara sudah mendapat suntikan pelalian lengkap, manakala dari segi perbandingan jumlah populasi, hanya 24.5 peratus.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/739303/kkm-ambil-iktibar-kesan-kelonggaran-sop-negara-lain

BACA JUGA : Panas !!! Senarai 31 nama MP BN diumum Ismail Sabri mengelirukan

COMMENTS

Wordpress (0)