Harimau masuk kampung bukan kerana pembalakan, kata TMB Kelantan

Harimau masuk kampung bukan kerana pembalakan, kata TMB Kelantan.Kerajaan Kelantan menafikan berlaku pembalakan sehingga menjejaskan habitat harimau yang mengakibatkan haiwan itu berkeliaran di sekitar Pos Bihai, Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tohmahan itu tidak sepatutnya berlaku kerana sebelum ini wujud kes lain harimau dikatakan muncul di kawasan bukan pembalakan.

“Hendak siasat dan cari sebab itu bagus tetapi jangan cepat buat kesimpulan.

Seolahnya sebab pembalakan menyebabkan harimau itu keluar.

Itu tidak betul,” katanya kepada pemberita di sini selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Rabu.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan sekumpulan orang asli dari Gua Musang yang menyerahkan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri untuk kerajaan mencari jalan penyelesaian segera bagi memastikan keselamatan orang asli di kawasan berkenaan terjamin daripada serangan binatang buas.

Mereka berpendapat, pelbagai kejadian boleh berlaku sekiranya kerajaan tidak menghentikan segera kegiatan pembalakan yang didakwa menjadi punca ekosistem haiwan liar itu terganggu.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, penyiasatan dan kajian boleh dilakukan dan langkah-langkah penangkapan telah dilakukan agensi yang terlibat bagi memastikan keadaan kembali terkawal.

“Agensi yang terlibat juga ada memaklumkan kepada kami, harimau yang sudah tua dan tidak mampu mengejar binatang lain akan mencari inisiatif makanan yang lebih mudah tanpa berburu.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan pembangunan mungkin menjadi antara faktor harimau datang ke kampung namun belum pasti.

Sebab baru satu kes, kalau kes banyak mungkin betul. Apa pun, kita tunggu maklumat terkini daripada agensi yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai spesis binatang berkenaan yang semakin pupus, Mohd Amar berkata, undang-undang sudah ada dan setakat ini tiada pemburuan haram berlaku dan keselamatan habitat asal harimau berkenaan juga tidak terjejas.

BACA JUGA : Banjir : Orang ramai jangan salahkan pembalakan sahaja, tegur pemimpin Pas
Tular video JPJ ‘escort’ lori balak di Kelantan, ini sebenarnya yang berlaku
Tular dua beradik orang asli ditahan kerana halang pembalakan di Gua Musang? Ini penjelasan polis

Artikel ini disiarkan pada 12/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)