Hari ini bakal rungkai siapa Perdana Menteri yang baharu?

Hari ini bakal rungkai siapa Perdana Menteri yang baharu.

Tempoh genting untuk semua parti politik menamakan Perdana Menteri pilihan sudah berakhir selepas masa yang diberikan kepada 220 ahli Parlimen tamat pada jam 4 petang semalam (Rabu).

Bagaimanapun, jumlah sokongan yang diserahkan kepada Istana Negara masih lagi menjadi tanda tanya dan siapakah sebenarnya calon Perdana Menteri yang ditunggu-tunggu.

Tumpuan kini hanya terarah kepada dua nama yang disebut-sebut iaitu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun di atas kertas, kelebihan kini dilihat lebih berpihak kepada Ismail Sabri berbanding ‘lawannya’ iaitu Anwar bersandarkan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN), namun selagi belum diumumkan secara rasmi, segala kemungkinan boleh berlaku.

Ketika artikel ini ditulis, media dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memanggil ahli-ahli Parlimen menghadap Baginda di Istana Negara hari ini (Khamis).

Difahamkan, ia melibatkan ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri.

Adakah ini bermakna Perdana Menteri baharu sudah dipilih dan Tuanku kini ingin mendapatkan pengesahan sokongan sekali lagi? Jika benar, kita sudah boleh mengagak siapa Perdana Menteri ke-9 yang dipilih.

Pastinya, sesiapa pun yang dipilih Al-Sultan Abdullah sebagai Perdana Menteri baharu setelah calon itu diyakini mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, sebenarnya belum boleh menarik nafas lega lagi.

Ia bersandarkan kenyataan Istana Negara semalam yang menitahkan Perdana Menteri yang dilantik hendaklah segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Melihatkan ketegasan Baginda, kita memahami pihak istana sendiri sudah ‘letih’ dengan kemelut politik berpanjangan yang mengganggu gugat tadbir urus kerajaan ketika negara diancam pandemik Covid-19.

Pengesahan keabsahan itu amat penting dalam menentukan kestabilan politik negara yang tidak pernah reda dengan konflik sejak Pilihan Raya Umum ke-14.

Sejak 9 Mei 2018 sehingga kini, Malaysia sudah bertukar tiga Perdana Menteri. Adakah kita mahu bertukar Perdana Menteri setiap tahun?

Keseriusan pihak istana dalam menyelesaikan kebuntuan politik ini kita dapat lihat apabila dikhabarkan satu Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu akan diadakan pada esok (Jumaat) di Istana Negara bagi membincangkan isu calon Perdana Menteri dan kerajaan.

Al-Sultan Abdullah juga dijangka mengumumkan keputusannya berhubung pencalonan 220 ahli Parlimen yang memilih Perdana Menteri, sekali gus menamakan Perdana Menteri baharu.

Sesiapa pun yang dipilih, susuk tubuh politik itu mestilah seseorang yang berwibawa dan mendapat pengiktirafan dari segi kepimpinan, sekali gus bersedia membawa negara ke arah masa depan yang lebih baik dan paling penting, menangani pandemik Covid-19 serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/156382/BERITA/Politik/Menanti-Perdana-Menteri-baharu

Baca Juga : Gempar !!! Pendakwah terkenal dipanggil ke Bukit Aman bantu siasatan kes gangguan seksual