Harga tepung gandum, gula dan beras pula dijangka naik

Harga tepung gandum, gula dan beras pula naik. Peniaga di daerah ini meramal beberapa harga barang keperluan asas lain dijangka meningkatkan dalam tempoh sebulan lagi.

Rata-rata peniaga mendakwa kenaikan harga barangan keperluan itu membabitkan tepung gandum, gula, beras, roti, minyak masak, barang merah, bawang besar, ikan dan daging.

Jika benar dakwaan tersebut, situasi itu pasti memberi tekanan berganda bukan sahaja kepada peniaga, tetapi juga pengguna selepas berdepan dengan beberapa episod kenaikan harga bagi barangan basah sejak dua minggu lalu.

Seorang peniaga, Fatimah BB Saip Khan, 59, berkata, semua barang keperluan asas secara keseluruhannya berdepan dengan kenaikan harga sekitar 30 peratus.

Menurutnya, terdapat beberapa jenis barangan keperluan lain juga akan mengalami kenaikan harga secara berperingkat dalam tempoh sebulan.

“Kita jangka tepung gandum, gula, beras akan alami peningkatan harga dalam masa terdekat.

harga

Jadi, kita sebagai peniaga terpaksa bersedia dengan kadar harga baharu barangan ini, jika meningkat.

“Kalau ikutkan, setakat ini beberapa jenis barang seperti telur, sabun, barangan plastik dan semua jenis barangan coklat naik sekitar 10 sen sehingga 50 sen bagi setiap jenis barangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedai miliknya di Kampung Bukit Sekilau pada Jumaat.

Fatimah memberitahu, kenaikan harga berlaku disebabkan pihak pembekal atau pengeluaran terpaksa berdepan dengan kos bahan mentah serta pengangkutan.

Katanya, itu antara alasan yang diberikan daripada pembekal ketika ditanya mengenai punca kenaikan harga.

“Bila harga dari pembekal sudah tinggi, jadi kita sebagai perniagaan terpaksa menaikkan sedikit harga barangan,” katanya.

Bagi peniaga barangan runcit dan basah, Zahidi Hamdan,56, mengakui menghadapi tekanan akibat kenaikan harga barangan basah selepas sektor ekonomi kembali dibuka beberapa bulan lalu.

Menurutnya, situasi ini menghimpit peniaga selain terdapat persepsi yang mengatakan mereka sengaja menaikkan harga bahan jualan kepada pengguna.

Bagaimanapun katanya, dalam tempoh sebulan lagi kemungkinan akan berlaku peningkatan harga barangan membabitkan beberapa jenis barangan keperluan seperti tepung gandum, gula, beras, minyak masak dan barangan basah seperti ikan serta daging.

“Saya dengar beberapa jenis barangan ini akan naik secara berperingkat, jadi ini akan menimbulkan lagi kebimbangan peniaga kerana kami terpaksa menjual pada harga tinggi bagi barangan yang sudah naik harga ketika ini,” katanya

Bapa kepada dua anak ini berkata, peniaga dan pengguna adalah golongan tersepit di sebalik ‘permainan’ pembekal dan pemborong yang menaikkan harga dengan pelbagai alasan.

Katanya, kerajaan perlu melihat kepada akar masalah ini supaya rantaian pembekalan dan jualan bahan mentah serta barangan keperluan dapat dikawal sebaik mungkin.

“Saya akui, pengguna merungut susulan kenaikan mendadak bahan mentah seperti sayur, telur ayam, ayam dan bahan mentah lain,” ujarnya.

Sementara itu, penjaja makanan, Marliny Kamarzaman,44, berkata, peningkatan harga mula berlaku sejak minggu lalu dan keadaan itu amat menggusarkan mereka sebagai peniaga.

“Jika, sebelum ini saya memperuntukkan RM200 hingga RM400 sehari untuk modal bahan mentah menyediakan pelbagai laut pauk dan kini harga itu meningkatkan sekali ganda.

“Bayangkan bagaimana kami nak jual nanti kerana jika terlalu mahal pelanggan akan merungut, sebaliknya jika murah kami yang akan rugi,” katanya.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Kei Kie, 52, mengakui memang terkesan dengan kenaikan harga barang keperluan sejak beberapa hari lalu.

Katanya, disebabkan harga barangan harian meningkat membuat dia terpaksa berbelanja secara berjimat dan membeli barangan diperlukan sahaja.

“Dalam isu kenaikan harga barang, saya minta kerjasama mainkan peranan sebaiknya, kalau boleh kawal harga di peringkat pembekal dan pengeluar.

“Kalau tidak rakyat dan peniaga akan terus terkesan dengan pelbagai kenaikan harga pada masa akan datang,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Harold Toolseram, 64, meminta kerajaan mengawal kenaikan harga barangan yang dilihat semakin tidak terkawal.

“Kalau barangan import, kami faham sekiranya berlaku kenaikan, ini kebanyakan barangan buatan Malaysia kenapa perlu naik berganda sebegini.

“Kami sebagai pengguna tertekan dengan keadaan harga berganda dalam keadaan ekonomi tidak menentu pada ketika ini. Jadi kerajaan perlu lakukan sesuatu,” jelasnya.

BACA JUGA : Perompak diberkas, tertidur dalam kereta dengan barang rompakan

Artikel ini disiarkan pada 26/11/2021

COMMENTS

Wordpress (0)