Harga sawit lebih tinggi jika ada pengiktirafan sijil MSPO – Teresa Kok

Pengiktirafan terhadap sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) oleh negara luar akan membolehkan harga minyak kelapa sawit negara dijual pada harga yang lebih tinggi.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata perkara itu dinyatakan sendiri oleh beberapa syarikat besar yang mengimport minyak sawit negara.

“Kita dapat maklumat dari beberapa syarikat besar yang mengimport minyak sawit Malaysia, mereka juga sudah mengiktiraf MSPO dan mereka mahu bayar (minyak sawit) pada harga yang lebih tinggi.

“Jadi ini maklum balas yang kita sudah ada, saya akan pergi ke Jepun dua bulan lagi dan saya akan cuba mendapatkan MSPO ini diiktiraf oleh pihak pembeli atau pun agensi kerajaan di Jepun,” katanya kepada pemberita sebelum merasmikan Sesi Dialog bersama pengilang sawit di Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata pengiktirafan MSPO turut diberikan oleh Jawatankuasa Olimpik Jepun untuk tahun hadapan.

Meskipun kerajaan komited dalam mendapatkan pengiktirafan negara-negara luar untuk sijil MSPO ini, beliau berharap kesedaran terhadap kepentingan sijil MSPO, terutama dalam kalangan pekebun-pekebun kecil semakin meningkat.

“Kita mesti tunjuk yang kita serius dari segi pensijilan MSPO dan kemampanan minyak sawit kita,” katanya.

Setakat 30 Jun, hanya 42 peratus daripada keseluruhan 5.849 juta hektar tanaman kelapa sawit seluruh negara yang mendaftar sijil MSPO.

Johor masih mencatatkan peratusan rendah yang mendaftar sijil MSPO iaitu sebanyak 37 peratus daripada 747,562 hektar tanaman kelapa sawit.

BERNAMA