Harga ayam naik 6 kali sepanjang April tahun ini

Harga ayam naik 6 kali sepanjang April tahun ini

“Bulan ini saja harga ayam dari pemborong naik enam kali termasuk dua kali sebelum Ramadan. Kami dimaklumkan harga bakal naik lagi esok dan menjadikan ini kali kedua harga borong naik dalam Ramadan ini.

“Setiap kali kenaikan adalah sebanyak 30 sen dan hari ini kami mendapat bekalan pada harga kos RM7.80 sekilo, jadi saya terpaksa menjual dengan harga RM9.50 sekilo,” kata seorang peniaga ayam yang hanya mahu dikenali sebagai Mat ketika ditemui di Pasar Ayam Amanjaya, Ipoh, hari ini.

Katanya, kalangan peniaga ayam di bandar raya ini tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menaikkan harga tinggi kerana harga ditentukan pembekal. Sepanjang lebih 20 tahun berniaga, harga ayam kali ini naik sampai RM9.50 sekilo sedangkan harga tertinggi pernah dijualnya menjelang Ramadan sebelum ini pada RM8.50 sekilogram.

“Jika pemborong terus naikkan harga, tidak mustahil harga boleh naik hingga lebih RM10 sekilo tak lama lagi. Kami tidak tahu punca kenaikan sampai begini, …mungkin kerana pandemik COVID-19,” katanya.

Katanya, harga naik mendadak dan peniaga pula hanya dapat mengambil keuntungan kira-kira RM1.40 untuk bagi setiap kilo ayam mentah standard yang dijual.

“…berapa sangatlah yang kami dapat, sedangkan kami juga perlu membelanjakan RM450 sebulan untuk utiliti dan sewa tapak, itu belum lagi bayaran gaji pekerja yang juga ditanggung,” katanya.

Justeru, katanya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengambil perhatian serius perkara ini dan bertindak mencari penyelesaian terbaik berhubung isu kenaikan harga ayam ini.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/807529/harga-ayam-naik-6-kali-bulan-ini