Haram gaji sekiranya lompat parti, calon PN lafaz ‘sumpah laknat’

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Calon PN bagi PRK Dun Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail, telah melafazkan “sumpah laknat”

sebagai jaminan bahawa beliau tidak akan mengubah haluan atau menukar sokongan jika terpilih sebagai Adun Nenggiri.

Mohd Rizwadi yang juga calon dari Bersatu turut berikrar untuk patuh kepada perlembagaan serta dasar-dasar perjuangan parti tersebut selagi mana tidak bercanggah dengan Islam.

“Jika saya meninggalkan Bersatu, berhenti menjadi ahli, berpindah ke parti lain, menyokong parti lain, atau kepimpinan parti lain,

dengan kerelaan saya sendiri, selepas dipilih menjadi calon dan terpilih sebagai Adun, maka saya akan dilaknat oleh Allah dan Rasul.

Haram gaji sekiranya lompat parti, calon PN lafaz 'sumpah laknat'

“Segala perbelanjaan saya serta keluarga saya menggunakan wang gaji dan elaun Adun adalah haram dan Allah bersaksi atas apa yang saya lafazkan ini,” katanya selepas diumumkan sebagai calon PN bagi PRK Dun Nenggiri di Masjid Hijau Renok, Gua Musang.

Sumpah laknat tersebut dipercayai dibuat susulan tindakan beberapa wakil rakyat Bersatu sebelum ini yang mengubah sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selepas menang pilihan raya.

Kekosongan kerusi DUN Nenggiri berlaku kerana penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim, terhenti keahlian Bersatu secara automatik selepas menyokong kepimpinan Anwar.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, mengumumkan Mohd Rizwadi, bekas timbalan Pemuda PAS Gua Musang, sebagai calon PN pada PRK Nenggiri.

Mohd Nassuruddin yang juga pesuruhjaya PAS memaklumkan bahawa PN akan bertanding menggunakan logo PAS.

Pada 13 Jun lalu, Speaker Dun Kelantan, Mohd Amar Abdullah, mengumumkan kekosongan luar jangka di Dun Nenggiri selepas keahlian Mohd Azizi tergugur secara automatik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Mohd Azizi memenangi kerusi Dun Nenggiri dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

BACA: Kecoh banduan berjaya lolos dari penjara hanya guna semangkuk sup je!