Haram buku Tommy Thomas? Saya tak setuju – Zolkharnain

Haram buku Tommy Thomas? Saya tak setuju – Zolkharnain

Antara perkara yang aku tak setuju ialah pengharaman buku. Bagi aku, tindakan itu mundur ke belakang kerana menganggap pembaca “buku” adalah orang bodoh.

Orang bodoh tak baca buku. Tak percaya? Cuba pergi rumah orang bodoh, ada jumpa buku di meja makan, ruang tamu atau bilik tidur?

Orang cerdik tak akan mudah mengikut apa yang dibaca biarpun penulisnya orang hebat. Orang cerdik berfikir, menganalisa, menilai, mencerakin dan mengambil manfaat.

Sebab itu al-Iraqi mengkritik Ihya’ Ulumiddin, Syekh Usamah al-Azhari mengkritik Fi Zilal Syed Qutb, al-Qaradhawi menjawab Muhammad Abd Raziq dan banyak lagi. Terbaru, Hanif Khatri mengkritik buku TommyThomas.

Jika orang bodoh membaca buku (?), dia membaca bukan untuk jadi cerdik, tapi untuk jadi pentaksub. Ketaksuban menjadikannya bertambah bodoh walaupun dia baca buku yang pada hakikatnya bukan buku.

Orang cerdik baca buku untuk bertambah cerdik. Dia baca buku bukan untuk hafal kandungan buku itu, tetapi untuk membawa akalnya meneroka perkara-perkara baru yang diperolehi daripada buku yang dibaca.

Orang yang suka buku diharamkan adalah orang penakut. Jika kandungan buku tak betul, jawablah balik seperti al-Quran menjawab Taurat dan Injil yang telah dipesongkan oleh pendeta Yahudi dan Nasrani.

Seperti Rasulullah SAW menjawab syair karut dan dongeng jahiliah melalui hadith baginda. Akhirnya, al-Quran dan hadith menang dan semua kekarutan dan dongeng jahiliah terbongkar dan ditolak.

Kebenaran tertegak dengan hujah. Betul, undang-undang perlu untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Pencuri dan perompak lawannya undang-undang, bukan hujah.

Tetapi buku bukan berada pada kedudukan seperti pencuri dan perompak. Buku berada dalam ruang akal, ruang paling mulia. Jika akal sihat, isi kandungan buku yang buruk tak berupaya untuk mempengaruhinya.

Bagaimana dengan buku lucah, buku hina Tuhan, buka hina Nabi? Bagi aku, itu bukan buku walaupun dipanggil buku. Itu lembaran propaganda, helaian kebencian, surat-surat syaitan.

Buku mesti mengambil semangat “al-kitab” atau “al-suhuf” yang menegakkan nilai-nilai murni kemanusiaan dari pelbagai sudut pandang.

Buku lahir dari minda untuk mengetuk minda, lahir dari rasa untuk menyentuh rasa dan lahir dari pengalaman untuk dikongsi.

Sumber :